UPSI perkasa kemahiran pelajar menerusi MIV

TANJONG MALIM – Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) bersama Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi (META), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, kerjasama berkenaan melibatkan pelaksanaan Program Sukarelawan ICT Malaysia (MIV) kepada pelajar UPSI.

Menurut beliau ia juga merupakan sebahagian usaha UPSI dalam menjayakan pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara pintar digital.

“Ia juga bertujuan untuk memacu ekonomi digital negara dalam kalangan komuniti, sukarelawan ICT Malaysia yang terdiri 52 orang pelajar META yang mengikuti pembelajaran subjek Kemahiran Bakat Digital.

“Mereka akan menjadi duta dan memainkan peranan penting untuk membantu menyebar luas inisiatif dan dasar kerajaan kepada semua lapisan masyarakat serta akan berganding bahu dengan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, melalui program MIV, para sukarelawan berpeluang berinteraksi dengan komuniti setempat bagi membimbing penggunaan ICT yang lebih positif, produktif dan bertanggungjawab.

Tambah beliau ia juga bakal mendidik pengunaan ICT secara berhemah dan memupuk kesedaran masyarakat disamping membantu komuniti membudayakan penggunaan teknologi digital dalam kehidupan mereka.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Digital, Ts Dr Megat Azrin Ahmad berkata, program Sukarelawan ICT Malaysia itu juga selari dengan aspirasi MyDIGITAL sebagai inisiatif negara untuk mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan teknologi dan pendigitalan.

“Saya berharap melalui inisiatif ini akan membantu mempercepatkan proses pendigitalan dengan meningkatkan kadar literasi ICT dalam kalangan komuniti selain memanfaatkan penggunaan teknologi bagi mempertingkatkan kualiti hidup selari dengan era ekonomi digital.

“MIV adalah program kesukarelawan yang dilaksanakan oleh MCMC bagi membantu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran komuniti dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT),” katanya.

Megat Azrin berkata, UPSI menyokong penuh program kesukarelawanan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, komuniti, masyarakat sasaran yang dibantu tetapi ia juga mendatangkan impak positif kepada sukarelawan itu sendiri. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

UPSI bentuk pasukan petugas bangunkan pendidikan AI

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI