UPSI tandatangan MoU dengan Universiti Kanazawa

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Kanazawa, di Ishikawa, Jepun bagi memperkasakan pengantarabangsaan pendidikan tinggi kedua-dua institusi, pada Khamis.

Dalam satu kenyataan, UPSI memaklumkan, majlis MoU itu disempurnakan Naib Presiden Universiti Kanazawa, Professor Noriko Hasebe, dan Naib Canselor UPSI, Prof Dr Md Amin Md Taff di Universiti Kanazawa.

Hadir sama Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) UPSI, Prof Madya Dr Abdul Talib Mohamed Hashim; Ketua Jabatan Bimbingan dan Kaunseling FPM, Dr Hapsah Md Yusof serta Pensyarah Kanan FPM, Dr Pau Kee .

Md Amin berkata, MoU yang ditandatangani itu memfokuskan terhadap pembangunan manusia, kesihatan mental, dan psikologi pendidikan selaras dengan kekuatan Universiti Kanazawa.

Ujar beliau, kedua-dua institusi itu akan menyediakan peluang kepada pelajar dan kakitangan dalam aspek akademik, penyelidikan, penerbitan, perundingan dan latihan.

Kata beliau lagi, melalui kerjasama itu, UPSI dan Universiti Kanazawa dijangka dapat menyumbang dalam konteks penyelidikan khususnya bagi aspek kesihatan mental pelajar, kepelbagaian budaya dalam pendidikan, dan pembangunan teknologi pembelajaran.

“Kerjasama program mobiliti antarabangsa menerusi pertukaran pelajar dan program-program akademik antara UPSI dan Universiti Kanazawa pada masa akan datang akan berlangsung dalam konteks budaya Malaysia-Jepun yang unik dan teknologi pendidikan yang tinggi.

“UPSI diiktiraf dalam menawarkan pendidikan yang inklusif dan holistik khususnya dalam bidang kaunseling, psikologi, pendidikan khas, pendidikan awal kanak-kanak, pedagogi, kurikulum, bahasa dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Noriko berkata, Universiti Kanazawa sentiasa terbuka untuk menerima masyarakat tempatan dan global bagi menjalankan penyelidikan khususnya dalam bidang pendidikan.

Ujar beliau, Universiti Kanazawa mempunyai perjanjian persefahaman dengan 341 institusi dari 363 buah negara serta mempunyai 824 pelajar antarabangsa pelbagai peringkat.

“Contohnya, Profesor Atsuro Tsutsumi dari Institut Sains Trans Diskriminasi Inovasi menjalankan penyelidikan bersama UPSI sejak tahun 2016.

“Melalui program pertukaran pelajar seperti Program Latihan Bahasa dan Budaya Jepun dan Kanazawa University Short-term Exchange Program (KUEP) akan lebih memperkasakan kecemerlangan pelajar pada masa akan datang,” tambah beliau. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

RESQ Team UPSI prihatin bantu mangsa banjir

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI