UPSI, YUA meterai MoU bangun modal insan berasaskan nilai Islam

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Yayasan Ulul Albab (YUA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan pendidikan serta pembangunan modal insan berasaskan nilai Islam.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, kerjasama berkenaan merupakan satu manifestasi cita-cita murni dalam melahirkan generasi Ulul Albab yang seimbang dari segi intelek, rohani dan sahsiah.

Beliau berkata, UPSI dan konsep Ulul Albab sudah lama sinonim dan penubuhan Pusat Ulul Albab UPSI membuktikan komitmen universiti dalam mengangkat martabat pendidikan Islam yang menyeluruh.

“Pelbagai program berimpak tinggi telah dilaksanakan bersama YUA sebelum ini, antaranya International e-Conference of Ulul Albab (e-ICUA), Ikon Ulul Albab Malaysia, dan Ulul Albab Innovation Competition Exhibition (UA ICE).

“Turut dilaksanakan ialah pembangunan kurikulum dan modul Thalatha Tis’a, analisis keberkesanan program di peringkat awal kanak-kanak, serta kursus pedagogi bagi guru-guru yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.

Md Amin berkata, melalui pemeteraian MoU ini, kedua-dua pihak akan memperluas skop kerjasama termasuk pembangunan modul latihan sekolah model Ulul Albab, pembinaan Standard Ulul Albab Malaysia, dan penubuhan Program Diploma Sains Ulul Albab.

“Kolaborasi ini juga merangkumi penghasilan penerbitan ilmiah, promosi Konsep Andalusia 2.0, serta pelaksanaan seminar, persidangan dan bengkel bersama,” katanya.

Menurut beliau, UPSI komited untuk memainkan peranan sebagai pemacu kecemerlangan pendidikan negara melalui pembentukan ekosistem pendidikan Islam yang unggul dan berdaya saing.

“Harapan kami agar kerjasama ini membawa kita lebih dekat kepada kegemilangan tamadun Islam yang pernah dicapai suatu ketika dahulu,” ujar beliau.

Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Bilik Mesyuarat TRC Business Centre, Ampang, Selangor itu turut disaksikan oleh Pengerusi dan Pemegang Amanah YUA, Engku Ahmad Kamel Engku Taib; Setiausaha YUA, Abdul Aziz Mohamad; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman serta Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Sakinah Salleh. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI