Usah beri amanah kepada individu terpalit rasuah, berimej munafik – Sultan Nazrin

KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyeru agar amanah atau tanggungjawab tidak diberikan dalam kalangan individu yang lemah moral dan rendah akhlaknya serta dalam kalangan yang terpalit rasuah dan salah guna kuasa.

Malah, golongan yang berimej mungkar dan munafik serta tidak amanah dan tidak ikhlas ditolak sama sekali.

Baginda bertitah, kehebatan Islam hendaklah diserlahkan melalui budaya kerja, melalui kegiatan sosial, pencapaian ekonomi dan etika berpolitik.

“Imej Islam dan gambaran masyarakat dunia dipengaruhi oleh tahap pencapaian dan status kejayaan umat Islam. Islam akan lebih dihormati, dan akan terus dimuliakan, jika majoriti penganut Islam terdiri daripada ummah yang memperlihatkan prestasi pencapaian yang cemerlang dalam pelbagai bidang.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-72 dengan diringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di Hotel Mandarian Oriental Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 23 OGOS 2024.

“Islam jangan dibiarkan kelihatan bagaikan warna yang suram, serta nama yang lompong tanpa pengisian bermakna. Ummah bertanggungjawab mewarnakan Islam yang bergemerlapan dan mengisinya dengan kandungan yang meyakinkan.

“Oleh itu, usaha dan program pembangunan insan sewajarnya diberikan fokus. Jika keagungan Islam mahu dijulang, jika martabat bangsa mahu didarjatkan, usaha untuk memperkayakan generasi muda dengan ilmu wajib diberikan tumpuan melalui persepakatan gerakan yang tersusun lagi strategik, diselaraskan, diintegrasikan dan digabungkan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian keika merasmikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) ke -72 di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-72 dengan diringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di Hotel Mandarian Oriental Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 23 OGOS 2024.

Baginda yang juga Pengerusi MKI bertitah, kegemilangan Islam pada satu masa dahulu meninggalkan legasi dan idealisme tinggi, namun kemajuan sesuatu bangsa tidak boleh bergantung pada legasi dan idealisme semata-mata.

“Kelangsungan (survival) umat Islam perlu dibina melalui pembinaan kekuatan minda dan menyuntik keyakinan untuk bersaing dan berlumba, bukan kaedah menakut-nakutkan ummah, sehingga ummah mempunyai prasangka, mempunyai prejudis, tidak selesa, merasakan diri sebagai makhluk asing (alien) apabila berada dalam persekitaran yang dihadiri atau dikelilingi oleh bukan Islam.

“Perbuatan menakut-nakutkan ummah samalah seperti budaya menakut-nakutkan anak-anak Melayu di kampung pada era pra dan pascamerdeka dengan cerita-cerita puntianak dan hantu kubur, hingga anak-anak tersebut dibunuh keberanian mereka, lalu menjadi penakut,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda bertitah, Islam tidak wujud dalam vakum, dan bukan sekadar percakap retorik, slogan yang dilaungkan atau sepanduk dipaparkan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-72 dengan diringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di Hotel Mandarian Oriental Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 23 OGOS 2024.

Malah tegas baginda, Islam juga bukan bahan untuk didagangkan secara berjanji dan memberi harapan, dijajakan atau dijadikan alat menghalalkan cara bagi mencapai tujuan duniawi.

“Islam itu perlu dirasai dan diperlihatkan melalui pengisian, perbuatan, pencapaian dan kejayaan penganutnya. Keagungan Islam perlu dicerminkan melalui sifat dan watak insaniah ummah, bukan pada apa yang di uar-uarkan, atau dimegahkan melalui kisah kehebatan tokoh-tokoh Islam zaman silam yang sudah menjadi sejarah,” titah Sultan Nazrin.

Justeru, Sultan Nazrin menyeru umat islam agar berani belajar daripada kesilapan masa lalu, cenderung memilih jalan pintas untuk menyelesaikan sesuatu masalah kerana mahu mendapat kemenangan segera.

Baginda turut menitahkan ahli-ahli MKI agar menghayati dan mempelopori semangat syura selain berusaha sebaik mungkin untuk menghargai elemen persamaan dan menjauhi sikap yang membesar-besarkan elemen perbezaan. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan:

MGPerak: Sabar, Jangan Gopoh Dalam Perkenal Perkara Baharu – Sultan Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI