Usaha memperindah ‘Gangga Negara’ hidupkan kembali Beruas

PERNAH dikenali sebagai Gangga Negara pada zaman dahulu, Beruas merupakan sebuah pekan kecil terletak di dalam daerah Manjung dan bersempadan dengan Daerah Perak Tengah serta Kuala Kangsar.

Beruas juga bukanlah sebuah pekan biasa kerana mempunyai sejarah yang panjang dan signifikan dalam pembentukan tamadun awal negeri Perak.

Nama Gangga Negara sendiri mengingatkan kita bahawa kawasan ini pernah menjadi antara pusat penting yang membentuk identiti dan perjalanan sejarah negeri ini.

Pembinaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat atau dikenali sebagai WCE telah menjadikan akses ke Beruas lebih mudah dan lancar berbanding sebelum ini.

Pada masa yang sama, daerah Manjung sedang dipacu oleh pembangunan projek-projek berimpak tinggi seperti Lumut Maritime Industrial City (LUMiC) dan Perak Halal Industrial Park (HIP) di Lekir.

Kehadiran projek-projek ini, bersama jaringan perhubungan yang semakin baik, membentuk ekosistem pembangunan yang saling melengkapi di Manjung dan kawasan sekitarnya, termasuk Beruas.

Dataran Gangga Negara, Beruas. Foto ABDULLAH YUSOF.

Atas kesedaran itulah, usaha menaik taraf dan memperindah Pekan Beruas dilaksanakan secara berperingkat. Pembinaan Dataran Gangga Negara merupakan sebahagian daripada usaha tersebut, sebagai langkah yang bertepatan dengan keperluan semasa dan hala tuju pembangunan kawasan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baru, Azman Noh berkata, usaha menaik taraf serta memperindahkan Pekan Beruas seperti Laman Memori Beruas yang menampilkan lukisan mural dan Dataran Gangga Negara menaikkan imej kawasan berkenaan.

Menurut beliau, jika dahulu Pekan Beruas merupakan sebuah pekan kecil yang hanya menempatkan banggunan lama berusia sekitar 30 tahun kini ia mempunyai pelbagai infrastruktur yang menarik kehadiran ramai.

Katanya, usaha mengindahkan Pekan Beruas diperjuangkannya bermula semasa menjawat jawatan Kaunselor, Majlis Perbandaran Manjung sehingga beliau dipilih menjadi wakil rakyat.

“Sebelum ini saya pernah minta bunga-bunga atau hiasan dari Setiawan atau Lumut yang tidak digunakan boleh dihantar ke Beruas untuk kami indahkannya.

“Mungkin dari seruan semasa saya jadi Kaunselor maka mereka bawalah projek untuk mengindahkan Pekan Beruas dan Alhamdulillah ia membawa manfaat kepada rakyat di sini,” katanya.

Tambah, Azman, pengindahan semula Pekan Beruas dilaksanakan secara berfasa dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.2 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu, Azman Noh. Foto ABDULLAH YUSOF.

Jelasnya, fasa pertama melibatkan pembangunan Laman Memori Beruas yang menampilkan elemen mural dan susun atur landskap bagi mengangkat identiti serta memori tempatan.

“Fasa kedua pula melibatkan pembangunan Dataran Gangga Negara serta penyediaan laluan pejalan kaki yang lebih selesa dan selamat.

“Saya difahamkan untuk tahun depan masih ada lagi yang akan dibawa turun ke Beruas ini cuma kita kena fikirkan bagaimana mahu tambah parkir kenderaan,” katanya.

WCE hidupkan kembali Pekan Beruas

Ditanya mengenai kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berhubung kewujudan WCE menjadikan akses ke Beruas lebih mudah dan lancar berbanding sebelum ini, Azman menyokong kenyataan tersebut.

Menurut beliau, Pekan Beruas memerlukan tarikan untuk menarik pengguna WCE singgah sebelum meneruskan perjalanan sama ada ke utara mahupun selatan.

Katanya, ini kerana jika sebelum ini Pekan Beruas menjadi laluan untuk pengguna ke utara melalui jalan kampung sebelum keluar di Changkat Jering.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melawat sekitar Dataran Gangga Negara, Beruas selepas merasmikannya di Beruas. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Sebab itu kita mahu ada satu benda yang menarik kemasukan pengguna WCE singgah di Beruas seperti kedai makan yang menghasilkan makanan unik dan sedap.

“Bila pengguna singgah mereka juga akan tertarik dengan apa yang ada seperti Laman Memori Beruas dan Dataran Gangga Negara,” katanya.

Azman berkata selain itu juga terdapat Air Terjun Ulu Licin yang juga boleh dijadikan sebagai tarikan pelancong buat pengguna WCE.

Beri limpahan rezeki kepada peniaga

Ditanya bagaimana usaha memperindahkan Pekan Beruas seperti Dataran Gangga Negara dan medan selera, Azman berkata, limpahan manfaat berkenaan dirasai pelbagai lapisan masyarakat terutamanya para peniaga.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melihat lukisan mural pada Majlis Perasmian Dataran Gangga Negara, Beruas. Foto ABDULLAH YUSOF.

Katanya, berdasarkan pemerhatian beliau, peniaga-peniaga sekitar Beruas mengatakan bahawa jualan mereka bertambah baik sebelum ini.

“Saya bagi contoh peniaga yang jual kuih di hadapan perhentian bas. Kalau dahulu mereka memulakan perniagaan sekitar tengah hari pukul 1 atau 2 petang.

“Sekarang pukul 10 pagi sudah mula berniaga. Jadi hasil pendapatan jualan mereka itu meningkat setelah siapnya Dataran Gangga Negara,” katanya.

Selain itu, Azman berkata, pihaknya berharap agar Beruas menjadi salah sebuah destinasi pelancongan sama ada tempatan ataupun luar negara.

“Ada peniaga beritahu bahawa terdapat pelancomg asing datang melihat dan bergambar dengan lukisan mural selain berkunjung ke Ulu Licin,” katanya.

Saarani sebelum ini berkata, sebanyak RM2.2 juta diperuntukkan bagi pengindahan semula Pekan Beruas yang dilaksanakan secara berfasa melibatkan pembinaan Laman Memori Beruas dan Dataran Gangga Negara.

Menteri Besar Perak itu berkata, pelaksanaan projek berkenaan direalisasikan melalui kerjasama antara Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Vale Malaysia Minerals Sdn. Bhd. (Vale) menerusi pendekatan tanggungjawab sosial korporat (CSR). -MG Perak

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI