LARUT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pengiktirafan dunia atas usaha Malaysia dalam merintis jalan perdamaian antara Thailand dan Kemboja sebelum ini merupakan hasil kerjasama semua pihak dalam Kerajaan MADANI.
Malah beliau berkata, dakwaan beberapa pihak mengatakan ia merupakan usahanya sendiri sebagai Perdana Menteri disifatkan kurang tepat.
“Bila ada pergaduhan diserah usaha perdamaian itu dengan kita. Satu dunia iktiraf walau ada beberapa ahli Parlimen pembangkang kata tidak mahu iktiraf tidak mengapa.
“Apa yang penting apabila kita capai (perdamaian) itu sebab Perdana Menteri Anwar ia tidak betul kerana ia merupakan pasukan kita seperti Kementerian Luar dan Panglima Angkatan Tentera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Usahawan Tenusu MADANI “Memacu Revolusi Pertanian Moden, Menjana Ekonomi Rakyat” di Kompleks Tenusu Farm Fresh Tanjung Pondok, Selama di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Anwar berkata, selepas rundingan damai antara Thailand dan Kemboja selesai Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar telah menaiki penerbangan ke sempadan bagi berunding dengan Panglima Angkatan Tentera Thailand serta Kemboja.
Jelas beliau, ia bagi memastikan perjanjian yang ditandatangani kedua-dua negara berkenaan dapat dilaksanakan.
“Pegawai-pegawai PDRM juga memberi kerjasama dengan rakan mereka di sempadan dengan mengatakan bahawa apa sahaja yang perlu dibantu mereka akan bantu.
“Kementerian Luar, Agensi Pertahanan. Jadi ini kerja berpasukan sebab itu saya kata Kerajaan MADANI ini kena kuat dan kukuh bukan sahaja untuk meletakkan nama yang harum tapi boleh melaksanakan program,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Thailand dan Kemboja mencapai persefahaman untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat mulai tengah malam 28 Julai bagi menghentikan ketegangan di sempadan kedua-dua negara.
Kejayaan tersebut diumumkan Anwar selaku hos, Pengerusi ASEAN dan saksi bagi Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana.
Mesyuarat khas tersebut dihadiri Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
Kejayaan Malaysia itu turut mendapat pengiktirafan daripada Amerika Syarikat (AS) dan Jerman serta beberapa negara lain. -MG Perak.