Usahawan PMKS dijangka jana jualan RM5 juta menerusi Pavilion NCER

GEORGE TOWN – Seramai 31 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menyertai Malaysia Fest Singapura, Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) dan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dijangka menjana jualan RM5 juta.

Ia merupakan pogram empowerNCER anjuran Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang berlangsung bermula esok dan September depan di bawah Pavilion Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata, Pavilion NCER merupakan platform terbaik kepada PMKS untuk menerokai pasaran eksport dan meningkatkan daya saing bagi merebut peluang menjadi pembekal kepada syarikat besar di peringkat antarabangsa.

“Sejak 2019 sehingga Disember tahun lalu, NCIA telah membantu seramai 102 PMKS untuk menyertai pelbagai ekspo perdagangan sekali gus mencatatkan jumlah nilai eksport melalui memorandum perjanjian (MoA) yang direalisasikan bernilai RM5.61 juta selain menjana jualan terkumpul sebanyak RM1.17 juta.

“NCIA juga telah mempersiapkan setiap PMKS dengan kemahiran dan strategi perniagaan yang tepat bagi mempermudahkan mereka menyertai sesi padanan perniagaan dengan potensi pelanggan dan menyediakan ruang untuk mereka menjalin hubungan dengan pelbagai pihak berkaitan dalam industri yang disasarkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Mohamad Haris, NCIA sentiasa komited untuk memperkukuh ekosistem perniagaan di NCER melalui program-program NCER selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2021-2025.

“Penyediaan ekosistem perniagaan yang mantap amat penting bagi memastikan setiap sektor ekonomi mampu beradaptasi dan berevolusi seiring dengan perkembangan pesat ekonomi tempatan dan antarabangsa.

“Ini secara tidak langsung dapat merancakkan pengembangan perniagaan ke kawasan-kawasan kurang membangun dan seterusnya memacu pembangunan ekosistem perniagaan yang lebih menyeluruh bukan sahaja di NCER, malah ke seluruh negara,” katanya.

Untuk rekod, Ekspo Malaysia Fest Singapura akan berlangsung esok hingga 28 Julai manakala MAHA pula, pada 11 hingga 22 September dan diikuti MIHAS pada 17 hingga 20 September. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI