IPOH -Kejayaan produk keluaran usahawan dari Perak menembusi pasaran luar bukan hanya merapatkan hubungan dua negara malah turut membantu mempromosi Negeri Perak di peringkat antarabangsa.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, selain itu, kejayaan usahawan juga mampu menarik kemasukan pelabur luar disamping membawa masuk peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
“Kita tahu bukanlah perkara mudah untuk membawa satu-satu produk memasuki pasaran luar kerana ia memerlukan hubungan yang baik antara antara dua negara dan ia membantu produk negeri kita menembusi pasaran eksport.
“Apabila produk-produk negeri dibawa sehingga ke peringkat luar jelas sekali ia membuka peluang kepada syarikat itu sendiri disamping menambah peluang pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya.
Menurut Salbiah, Kerajaan Negeri Perak sentiasa berusaha membantu usahawan tempatan menembusi pasaran luar negara melalui pelbagai kaedah termasuk bimbingan serta membawa golongan berkenaan menyertai ekspo dan pameran.
“Ada beberapa program yang kita berkolaborasi bersaa agensi untuk membawa produk berpotensi ke luar negara melalui acara besar, pameran dan ekspo.
“Agensi-agensi ini memberi peluang kepada usahawan negeri memperkenalkan jenama dan produk mereka dan di sini secara jelas kita dapat melihat kepentingan usahawan diberi pendedahan pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Kontena Syarikat Suffy Dairy Group Sdn Bhd ke Kemboja di Jelapang, di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Salbiah berkata, kejayaan pengeluar produk tenusu dan minuman tempatan Muslim, Suffy Dairy Group Sdn Bhd memasuki pasaran Kemboja menjadi salah satu lagi cerita kejayaan produk negeri ini di peringkat antarabangsa.
Jelas beliau, sebanyak empat jenis produk tenusu dan minuman dengan nilai RM200,000 dari syarikat berkenaan akan dieksport Kemboja.
“Saya difahamkan sebelum ini produk mereka telah memasuki pasaran Kemboja dan kini ia dieksport dalam jumlah besar selepas menerima permintaan tinggi.
“Insya-Allah produk dari Suffy Dairy Group ini akan diterima di pasaran Kemboja dan seterusnya berjaya,” katanya. -MG


