USAS sedia insentif RM8,000 untuk galak penyelidikan

IPOH – Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) menyediakan insentif penyelidikan berjumlah RM8,000 kepada empat projek terbaik dalam program Sains, Teknologi, Agrikultur dan Landskap Ekspo (STARTLE 2025) untuk dibawa ke Hari Inovasi peringkat kebangsaan.

Naib Canselor USAS, Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof berkata, insentif berbentuk dana itu dibayar secara berperingkat mengikut kemajuan penyelidikan yang dilaksanakan.

Menurutnya, menerusi dana bernilai RM2,000 bagi setiap projek terbaik itu dapat menyuntik semangat kepada pengkaji yang terlibat.

“Insentif ini juga diharap dapat menggalakkan penghasilan lebih banyak produk dan penyelidikan dalam bidang Teknologi Maklumat, Multimedia, Landskap dan Pertanian.

“Menerusi insentif ini, kita berharap semoga lebih banyak produk dan penyelidikan dari USAS dan IPT luar, yang dapat diangkat ke pentas yang lebih tinggi, mendapat pengiktirafan, dan seterusnya dikomersialkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutup program STARTLE yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Mydin Mall di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, pemenang bagi setiap kategori turut menerima pingat dan sijil kecemerlangan. Mereka juga akan diberi bimbingan melalui STARTLE Series Talk.

Katanya, melalui tema ‘Innovate to Elevate’, program ini selaras dengan matlamat USAS untuk memperkasakan kecemerlangan pendidikan, kemahiran, dan penyertaan global.

“Melalui tema ini, STARTLE 2025 memperkenalkan pelajar kepada standard global dengan menyediakan platform pertandingan dan kolaborasi antarabangsa serta memberi pengiktirafan projek berkualiti tinggi melalui klasifikasi Emas, Perak dan Gangsa.

“Program ini memberi peluang kepada mahasiswa dan penyelidik untuk menghasilkan projek inovatif yang dapat memenuhi keperluan industri serta menyumbang kepada kemajuan masyarakat.

“Ini selari dengan usaha USAS dalam memastikan inovasi yang dihasilkan bukan sahaja bersifat akademik tetapi juga praktikal serta relevan dengan keperluan semasa,” ujarnya.

Tambahnya, STARTLE 2025 turut menyaksikan penglibatan daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Tapah, dan Kolej Vokasional Gerik. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

STARTLE 2025 bukti peranan USAS sebagai hab inovasi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI