TAPAH – Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning rata-rata akan memilih calon yang mempunyai aura kepimpinan tinggi serta mewakili suara rakyat untuk membangunkan kawasan berkenaan.
Calon baik dan berkualiti sebagai wakil parti bertanding sangat relevan memperlihatkan signifikan dalam pilihan raya dan pemerintahan secara keseluruhan.
Peniaga, Abdul Razak Ismail, 39, dari Kampung Tengah Sungai Lesong di sini berkata, calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir atau lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri dilihat mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang bagus selain sesuai untuk menerajui DUN berkenaan.
“Saya dengan doktor satu kampung, kami kenal dia dari zaman arwah ayahnya dan ahli keluarganya juga adalah kenalan kami.
“Berdasarkan background (latarbelakang) sebagai seorang doktor, InsyaAllah dia (Mohamad Yusri) akan melahirkan generasi pendidik untuk menjadi lebih berkembang.
“Daripada sudut ekonomi, (dia akan) membantu masyarakat serta membantu dari sudut keilmuan,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak.
Dalam pada itu, Abdul Razak juga pernah mengikuti program bersama Mohamad Yusri dan penyandang kerusi DUN tersebut, Allahyarham Ishsam Shahruddin.
“Apa yang saya nampak dari kaca mata saya sendiri, dia dengan arwah wakil rakyat (Ishsam) dahulu mereka seiring (seperti) pasangan duet yang baik dalam memimpin khususnya di kawasan DUN Ayer Kuning,” jelasnya.
Dia turut menyeru kepada pengundi muda yang ingin melihat Dun Ayer Kuning berubah ke arah lebih baik supaya pulang untuk menunaikan kewajipan mereka.
Seorang lagi anak jati DUN Ayer Kuning, Nor Azwana Mohd Mokhtar, 39, berkata, secara kasarnya dia melihat Mohamad Yusri adalah calon yang sesuai mewakili BN.
Ibu kepada lima cahaya mata ini turut menyifatkan calon BN itu mempunyai budi pekerti dan berpotensi untuk memenangi kerusi di DUN tersebut.
“Harap kalau dia menang, supaya dia dapat kekalkan seperti (sikap seperti) sekarang yang dia tunjukkan. Orangnya lemah lembut, bahasa sopan, ramah mesra,” katanya.
Peniaga ini juga berharap supaya calon terbabit dapat meneruskan usaha yang dilaksanakan wakil rakyat terdahulu dengan lebih baik.
“Wakil rakyat sebelum ini baik, memahami dan kalau ada keluhan di sini dia boleh dengar, harap dia (Mohamad Yusri) boleh terus macam itu juga.
“Kalau BN menang cuma tak minta banyak, harap pasang lampu jalan di sini sebab kemalangan selalu berlaku kerana menjadi laluan kerbau dan binatang liar,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: