TAPAH – Calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir tetap meluangkan masa bersenam bagi mengekalkan stamina dan kecergasan sepanjang tempoh berkempen menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Menurutnya, meskipun jadual harian padat dengan aktiviti bermula seawal Subuh hingga lewat malam, beliau tetap mencari ruang untuk berehat, bersenam dan mengambil makanan tambahan bagi memastikan tubuh sentiasa bertenaga.
“Kita perlu juga bersenam walaupun sedikit, berjalan sikit pun sudah cukup. Cuma tak seperti biasa kerana masa sangat terhad disebabkan program yang bermula sebelum Subuh sampai tengah malam.
“Pada waktu tertentu, saya ambil masa untuk nap (tidur sebentar) dan saya tahu bila dan di mana perlu berehat demi kekalkan kecergasan.
“Dari segi pemakanan pula, saya makan seperti biasa. Cuma ada juga orang cadangkan ambil vitamin sebagai makanan tambahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyantuni penduduk Kampung Orang Asli Sungai Kurong Dalam, di sini.
Dr Mohamad Yusri turut menekankan bahawa seseorang yang ingin menceburi bidang politik perlu mempunyai ketahanan fizikal dan mental yang kuat, selain menjaga kesihatan secara konsisten.
“Kita perlu tahu bagaimana untuk mendapatkan tenaga dan memastikan tahap kecergasan sentiasa baik. Ini penting supaya kita boleh terus berkempen hingga ke hari pengundian pada 26 April nanti, inshaAllah,” tambahnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: