Ustaz Yusri masuk ‘gear lima’, jelas manifesto kepada pengundi

TAPAH – Calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir memanfaatkan sepenuhnya baki empat hari menjelang hari pengundian bagi mempergiat kempen menjelaskan manifesto kepada para pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Beliau yang mesra dikenali sebagai Ustaz Yusri berkata, tumpuan utama ketika ini adalah untuk memastikan semua tawaran dalam manifesto yang diumumkan pada Ahad lalu dapat difahami dengan jelas oleh semua pengundi di kawasan tersebut.

“Saya akan menjelaskan tawaran-tawaran yang telah diumumkan dalam manifesto kepada pengundi di DUN Ayer Kuning.

“Kesemua yang digariskan adalah tekad saya untuk semua pengundi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi kempen rumah ke rumah bersempena PRK DUN Ayer Kuning di Tapah Road, dekat sini, pada Isnin.

Dalam masa yang sama, Ustaz Yusri berkata, jentera kempen beliau kini telah memasuki ‘gear lima’ bagi memastikan lebih ramai pengundi dapat didekati menjelang hari pengundian Sabtu ini.

“Kita sekarang kena bergerak laju sedikit dan mendekati pengundi dengan lebih hebat melalui pelbagai kaedah serta strategi.

“Dan ketika ini kita sudah berjaya mendekati lebih daripada 70 pengundi di DUN Ayer Kuning,” katanya lagi.

Menurut Ustaz Yusri, penerimaan yang baik daripada para pengundi terhadap kempen beliau dan jentera sepanjang tempoh berkempen diharap dapat diteruskan dan diterjemahkan pada hari pengundian nanti.

Ketika ditanya mengenai tahap kesihatannya sepanjang PRK berlangsung, Ustaz Yusri berkata beliau masih berada dalam keadaan baik.

“Keadaan mental saya baik, dan kesihatan saya (secara keseluruhan) tak ada masalah (buat masa ini).

“Cuma saya hilang suara sedikit. Mungkin sebab faktor cuaca, tambahan saya banyak berjalan dan bertemu ramai orang semasa berkempen,” kata beliau lagi.

Pada Ahad, Ustaz Yusri mengumumkan manifesto bertemakan ‘Ayer Kuning Sejahtera Bersama’ dengan menggariskan tiga tekad dan tujuh tawaran utama.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Ustaz Yusri dari BN serta Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS masing-masing mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April, dengan hari pengundian awal pada 22 April. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

PRK Ayer Kuning: Ustaz Yusri garis 7 tawaran dalam manifesto

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI