TAPAH – Calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bersyukur atas keputusan yang diperoleh pada Sabtu.
Mohamad Yusri yang mesra dikenali sebagai Ustaz Yusri berjaya mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning dengan memperoleh 3,041 undi, menewaskan dua calon yang lain pada PRK berkenaan.
“Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk mengalas tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, itu jawapan pertama saya (selepas menang).
“InsyaAllah apa yang ditawarkan dalam tiga tekad dan tujuh tawaran utama dalam manifesto akan kita usulkan (agar dua dapat direalisasikan). Ia supaya tahap keselesaan dan kebaikan penduduk di DUN Ayer Kuning dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Merdeka Tapah, dekat sini, pada Sabtu.
Antara yang hadir pusat berkenaan Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.
Dalam saingan tiga penjuru, Ustaz Yusri yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah berjaya memperoleh kemenangan dengan majoriti 5,006 undi.
Beliau mengalahkan Abd Muhaimin Malek dari Perikatan Nasional (PN) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia – PSM) yang masing-masing mendapat 6,059 dan 1,106 undi.
Pada masa sama Ustaz Yusri berkata, beliau telah berusaha sebaik mungkin pada PRK kali ini dengan ia disertakan rasa bertawakal kepada Allah SWT.
Mengulas lanjut Ustaz Yusri memberitahu, beliau mungkin akan menyantuni para kenalan di Kampung Tersusun Haji Tahir di Temoh, Tapah, pada pagi Ahad.
Artikel Berkaitan: