TAPAH – Calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir menerima respons positif daripada pengundi muda sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, berlangsung.
Menurutnya, reaksi itu menunjukkan beliau mempunyai hubungan baik bersama pengundi muda tanpa mengira kaum di kawasan tersebut.
“Saya nampak bagus, mereka (pengundi muda) bersama-sama bila saya jumpa mereka memberikan respon yang baik dari pelbagai kaum Melayu, Cina, India dan Orang Asal (Orang Asli). Kita punya hubungan itu baiklah,“ katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan mesra bersama pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Air Kuning di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Mohamad Yusri berkata, kempen dari rumah ke rumah tetap diteruskan bagi menyantuni pengundi di DUN berkenaan.
“Kita akan fokus semua (rumah) mungkin ada (penduduk) yang kurang sihat ataupun mereka yang mempunyai credible (kredibiliti) yang boleh membantu kita untuk bersama-sama meningkatkan perjalanan kempen kita,“ ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, sepanjang lima hari kempen berlangsung, masalah berkaitan infra antara yang paling banyak dibangkitkan oleh rakyat di DUN Ayer Kuning.
“Masalah itu biasa. Di mana-mana ada masalah. Biasa mereka (penduduk) akan sebut pasal infra, macam mana mereka boleh dapatkan infra yang baik, bagaimana kita nak buat untuk keselesaan mereka. Contoh macam jalan dan longkang.
“Kebanyakan (masalah berbangkit) adalah mengenai infrastruktur sebab ia melibatkan kehidupan harian mereka,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: