Vesel tempatan langgar syarat lesen ditahan

LUMUT – Sebuah vesel nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak selepas disyaki melanggar syarat sah lesen di perairan negeri, pada petang Ahad.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel itu ditahan dalam operasi Op Khas Tanjung 2 / Op Khas Pagar Laut 1 sekitar jam 2.18 petang pada kedudukan kira-kira 8.7 batu nautika barat daya dari Pulau Buloh, di sini.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut disyaki telah menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika dari daratan terhampir dan ia merupakan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Kesemua lima orang kru termasuk tekong warganegara Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak selepas disyaki melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985 di perairan negeri. Foto Maritim Malaysia.

“Vesel berkenaan juga didapati gagal mengemukakan surat kebenaran menggunakan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua lima orang kru termasuk tekong merupakan warganegara Myanmar.

“Justeru mereka juga disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Mohamad Shukri, dalam operasi itu turut dirampas hasil laut campur yang kesemua dianggarkan seberat lebih kurang 400 kilogram (kg).

vesel nelayan ditahan Lumut Maritim Malaysia tahan vesel nelayan Perak vesel langgar syarat lesen perikanan tangkap ikan kawasan larangan Malaysia kru warga asing tanpa permit vesel Op Khas Tanjung 2 Maritim Perak vesel nelayan Myanmar ditahan
Antara hasil laut campur dianggarkan seberat lebih kurang 400 kilogram (kg) dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak. Foto Maritim Malaysia.

Ujar beliau, vesel bersama kru kemudian telah diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu tegas beliau, Maritim Perak akan terus memperketatkan rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara sentiasa berada dalam keadaan selamat serta terkawal khususnya pada musim perayaan ini.

“Kami memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang termasuk menangkap ikan di kawasan larangan serta penggunaan kru warga asing tanpa kebenaran.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang ingkar”, katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Maritim Malaysia tahan dua vesel, 30 kru, langgar syarat sah lesen 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI