KUALA LUMPUR – Veteran UMNO menjelaskan kenyataan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin baru-baru ini bahawa Pas lebih layak menerajui PN sebagai tepat dan benar.
Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, Pas kini mula sedar parti itu telah memikul ‘biawak hidup’ dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
“Sebenarnya kebenaran kenyataan Hashim itu berasas. Pas tahu bahawa selama ini mereka memikul biawak hidup. Tapi atas dasar kepentingan bersama mereka mendiamkan diri, cuma sekarang tidak lagi apabila Hashim sebagai Mursyidul Am Pas terpaksa menyuarakan pandangan tegasnya,” kata Mustapha dalam satu kenyataan hari ini.
Mustapha mengulas kenyataan Hashim yang berkata, parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu lebih layak memimpin gabungan pembangkang itu.
Kenyataan tersebut sekali gus menolak cadangan supaya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai calon Perdana Menteri gabungan berkenaan.
Malah Hashim berkata, Pas layak memimpin kerana ahlinya paling ramai di Parlimen serta mempunyai jentera akar umbi yang kuat di seluruh negara.
Kata-kata itu bagi mengulas kenyataan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengesyorkan Muhyiddin sebagai calon tunggal jawatan Perdana Menteri mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Bagaimanapun, Hashim yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Perlis itu menolak cadangan berkenaan dan menegaskan lebih ramai dalam parti berkenaan yang layak memimpin PN.
“Pas banyak kelebihan dari Bersatu dalam semua perkara. Pas mempunyai ahli yang ramai, jenteranya tersusun. Tokoh yang layak menjadi Perdana Menteri juga tidak kurang.
“Kerusi Parlimen yang dimenangi mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lebih banyak berbanding Bersatu. Malah sekarang Pas memerintah empat negeri berbanding Bersatu yang gagal menguasai mana-mana negeri.
“Bersatu telah kalah di dua Pilihan Raya Kecil (PRK) iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan Mahkota, sedangkan Pas menang di DUN Sungai Bakap,” katanya. – MalaysiaGazette