TELUK INTAN – Polis mengesahkan menahan seorang wanita susulan video tular di media sosial berkenaan sekumpulan murid di sebuah sekolah di Hilir Perak menyanyikan lagu kebesaran Negeri Perak, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, wanita berusia lingkungan 40an itu ditahan pada sekitar jam 12 tengah hari di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor.
Katanya, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Suspek akan dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan lanjut dijalankan pada 11 April.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Jumaat untuk arahan dan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Sehubungan dengan itu, Bakri menasihatkan orang awam untuk tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih atau boleh mencetuskan ketegangan dan kontroversi.
“Penyebaran berita palsu atau tidak tepat boleh dikenakan tindakan undang-undang yang berat.
“Oleh itu, adalah penting bagi setiap individu untuk menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi demi memastikan kestabilan dan keharmonian negara terpelihara,” tambah beliau.
Sabtu lalu media melaporkan polis menerima tiga laporan berhubung penyebaran video yang ditularkan oleh pempengaruh politik dengan mendakwa lagu ‘Negaraku’ dinyanyikan bukan dalam bahasa kebangsaan di sebuah sekolah dalam daerah Hilir Perak.
Sementara Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan memberitahu, lagu yang dinyanyikan oleh murid sekolah berkenaan bukan lagu Negaraku seperti yang didakwa tetapi sebenarnya lagu ‘Allah Lanjutkan Usia Sultan’ yang merupakan lagu kebesaran Negeri Perak.
Terdahulu, tular beberapa video di laman media sosial termasuk TikTok menunjukkan rakaman nyanyian lagu di sebuah sekolah yang didakwa dinyanyikan dalam bahasa Cina. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Isu lagu Negaraku : Ratu Naga ditahan bantu siasatan polis – Fahmi