Video pertengkaran tular: Polis terima laporan dari suami, isteri

BATU GAJAH – Polis mengesahkan menerima dua laporan daripada pasangan suami isteri yang dipercayai masing-masing sebagai guru berhubung insiden pertengkaran mulut sebagaimana dalam video tular, dekat sini, sejak Rabu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad berkata, laporan polis pertama diterima daripada seorang lelaki berusia 53 tahun.

Katanya, laporan itu dibuat ekoran tidak berpuas hati dengan tindakan anak perempuannya yang menyebarkan video pertengkaran dengan isteri yang dianggap boleh menjejaskan maruah dan kerjaya lelaki itu.

“Pihak polis telah memanggil serta menasihatkan anak dan isteri pengadu agar memadamkan video tersebut bagi menjaga nama baik keluarga.

“Tujuan laporan dibuat adalah untuk menghentikan penyebaran video tersebut dan kes ini dirujuk ke agensi lain (SKMM) bagi tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Tambah Md Noor Aehawan, laporan polis kedua diterima dari isteri lelaki berkenaan yang berusia 53 tahun.

Menurut beliau, laporan itu berkaitan kejadian sama yang mana wanita terbabit tidak berpuas hati dengan tindakan suaminya yang menuduh dirinya dengan pelbagai tuduhan semasa pertengkaran itu.

“Tujuan laporan dibuat adalah untuk rujukan mahkamah kerana beliau dan suami dalam proses tuntutan perceraian.

“Pihak polis sentiasa bersedia membantu dan menjaga keharmonian masyarakat dalam apa jua situasi,” katanya lagi.

Terdahulu tular di media sosial X, apabila seorang lelaki yang didakwa sebagai guru di sebuah sekolah di Gopeng mengasari anak dan isterinya sehingga ahli keluarga mengalami masalah mental.

Pada hantaran itu turut disertakan video berdurasi 2 minit dan 17 saat memaparkan pergaduhan mulut antara lelaki berkenaan dengan isterinya selain turut dilemparkan pelbagai tuduhan atara satu sama lain.

Bagaimana pun, hasil semakan ke laman sosial terbabit didapati pemilik akaun dilihat sudah mengunci atau mengehadkan akses akaun media sosial itu daripada awam. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Polis siasat video tular dakwa anggota minta wang daripada warga asing

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI