LUMUT – Polis menafikan dakwaan kejadian bot pelancong karam di Pulau Pangkor dekat sini, sebagaimana yang tular di media sosial pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, sebaliknya kejadian itu berlaku di luar negara.
“Polis menerima maklumat tidak sahih berkaitan dengan kejadian bot pelancong karam di Pulau Pangkor tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp pada jam 9 pagi tadi.
“Hasil siasatan Polis Manjung mendapati kejadian tersebut bukan berlaku di Pulau Pangkor, sebaliknya ia berlaku di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Justeru Mohamed Nordin meminta orang awam untuk tidak menyebarkan maklumat palsu dan mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi sehingga mengganggu ketenteraman awam.
Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 2 minit 39 saat memaparkan sebuah feri dua tingkat membawa puluhan penumpang dimasuki air
Dalam video berkenaan, ia turut memaparkan para penumpang termasuk bayi yang memakai jaket keselamatan berada dalam cemas.
Di samping itu, turut tular tangkap layar pada WhatsApp yang mendakwa kejadian itu berlaku di Pulau Pangkor.
Difahamkan, kejadian sebenar video berkenaan berlaku di Bahamas pada 14 November tahun lalu dan mengorbankan satu nyawa melibatkan wanita warga Amerika Syarikat berusia 75 tahun.
Media tempatan melaporkan wanita itu antara lebih 100 penumpang di atas feri yang digunakan untuk membawa pelancong dari Pulau Nassau Paradise ke Pulau Blue Lagoon. – MG Perak
Artikel Berkaitan: