Visa China-Malaysia: MBI sedia produk pelancongan baharu

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam peringkat menyediakan pelbagai produk pelancongan baharu sebagai menyambut kedatangan lebih ramai pelancong China susulan pengumuman pelanjutan pengecualian visa antara Malaysia dengan Negara Tembok Besar itu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, malah pihaknya juga sedang menambah baik dan menaik taraf produk-produk pelancongan sedia ada.

Katanya, usaha tersebut termasuk membabitkan kepada produk pelancongan yang berasaskan kepada sektor ekopelancongan seperti di Tasik Cermin dan Gunung Lang.

Visa China Malaysia Ipoh MBI naik taraf, sedia produk pelancongan baru rumaizi pelancong
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Datuk Bandar Ipoh bersama Ketua Biro Media Perak 2024 di Hotel M Roof, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 JUN 2024.

“Kita sudah selesai penyerahan Bangunan Dewan Bandaran Ipoh dan Pejabat Pos Lama daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) kepada MBI (pagi tadi).

“Dan selepas ini bangunan itu kita akan serahkan kepada Balai Seni Negara untuk mereka melakukan kerja-kerja menaik taraf.

“Jika tiada aral melintang, kita menjangkakan awal tahun hadapan bangunan itu akan siap (dinaik taraf). Dan melalui usaha-usaha ini, kita harap boleh memenuhi permintaan pasaran pelancong dari China,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Datuk Bandar Ipoh Bersama Ketua Biro Media di Hotel M Roof, di sini, pada Isnin.

Pada Ahad media melaporkan, Kerajaan Perak akan mempergiatkan promosi Tahun Melawat Perak 2024 ke China susulan pengumuman pengecualian visa antara Malaysia dengan negara itu.

Terdahulu pada Khamis, media melaporkan Malaysia dan China menyokong usaha berterusan berhubung pengecualian visa bagi memupuk serta mengukuhkan hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.

China dilaporkan bersetuju untuk melanjutkan kemudahan itu sehingga akhir 2025, sementara Malaysia akan melanjutkan pengecualian visa sehingga penghujung 2026.

Visa China Malaysia Ipoh MBI naik taraf, sedia produk pelancongan baru rumaizi pelancong
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin ketika sesi bergambar pada Majlis Ramah Mesra Datuk Bandar Ipoh bersama Ketua Biro Media Perak 2024 di Hotel M Roof, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 JUN 2024.

Dalam perkembangan berasingan, Rumaizi memberitahu, buat julung kali MBI akan memperkenalkan Anugerah Media bersempena dengan Majlis Malam Media MBI 2024 yang akan diadakan nanti.

Katanya, antara anugerah yang akan dipertandingkan adalah, Anugerah Laporan Berita Televisyen Terbaik; Laporan Khas Televisyen Terbaik; Laporan Berita Terbaik; Anugerah Rencana Terbaik; Anugerah Jurufoto Terbaik; Anugerah Juruvideo Terbaik; Anugerah Wartawan Terbaik; serta Anugerah Khas.

“Penyertaan akan mula dibuka bermula 1 hingga 31 Julai depan. Dan penyertaan yang dihantar perlu berkisar kepada laporan, berita atau rencana mengenai MBI dan Bandaraya Ipoh dari tahun 2023 sehingga kini.

“Saya amat mengharapkan majlis ini akan menjadi platform untuk memupuk kerjasama yang lebih erat dengan rakan media untuk kepentingan warga kota secara menyeluruh,” katanya lagi. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

NCIA biaya RM15 juta bangunkan Projek Pelancongan Warisan Ipoh

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI