Wajibkan pihak terlibat kemalangan bayar pampasan kepada mangsa – DUPP

KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) menggesa pihak berwajib meletakkan kriteria pembayaran pampasan (diyat) kepada ahli keluarga mangsa kemalangan jalan raya melibatkan penuntut Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), kelmarin.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pihak yang terlibat dengan kemalangan tersebut khususnya pengusaha bas seharusnya tampil bertanggungjawab terhadap tragedi yang mengorbankan 15 pelajar UPSI terlibat.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menggesa kerajaan mengkaji semula peruntukan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 melibatkan hukuman ke atas pemanduan yang melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Menurut beliau, seksyen itu menumpukan hukuman terhadap pesalah, tetapi tidak memberikan ruang pembayaran pampasan atau diyat kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat.

“DUPP mengharapkan kerajaan benar-benar teliti dalam isu ini supaya keadilan kepada mangsa dan ahli keluarga terbela.

“Bahkan pembayaran diyat secara lebih menyeluruh berdasarkan prinsip keadilan Islam wajar diperkenalkan dan diintegrasikan dalam ruang perundangan negara bagi memberikan keadilan yang saksama kepada ahli keluarga mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad turut menggesa siasatan penuh dilakukan terhadap peruntukan kewangan yang telah disalurkan melibatkan puluhan juta ringgit untuk menaik taraf jalan raya Gerik-Jeli.

Ironinya, kata beliau, keadaan daif jalan raya itu masih kekal sehingga ke hari ini di sebalik peruntukan yang telah diumumkan sebelum ini.

“Keadaan jalan yang teruk dan berlubang telah berlarutan sekian lama dan tidak mendapat perhatian pihak berwajib.

“Oleh itu, suatu audit menyeluruh wajar dipertimbangkan bagi memantau perlaksanaan projek penaiktarafan jalan raya berkenaan dan kos penyelenggaraan yang telah digunakan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI