PARIT – Tempoh bekerja 45 jam seminggu bagi jururawat di wad hospital milik kerajaan di Bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dianggap munasabah berbanding 42 jam sebelum ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia ekoran kebajikan barisan hadapan kesihatan itu lebih terjaga menerusi waktu bekerja syif yang lebih fleksibel.
“Pada masa ini amalan jadual syif di peringkat hospital 42 jam, bekerja empat hingga enam hari seminggu di mana tempoh bekerja sehari mestilah tidak kurang daripada lapan jam dan tidak lebih 12 jam.
“Dalam pada itu, kita beri satu jam dikatakan tempoh rehat dalam waktu bekerja dan satu hingga tiga hari rehat seminggu.
“Saya kira sangat munasabah dan berwajaran (tempoh kerja 45 jam) dan kalau boleh kita akan perbaiki dan pertimbang penambahbaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Hospital Seri Iskandar dan Projek Pembinaan Blok Tambahan Hospital Seri Manjung di sini, pada Khamis.
Hadir sama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.
Tambah beliau, KKM sentiasa mementingkan kemashlahatan serta keseimbangan dalam kehidupan dan pekerjaan bagi pekerja sektor kesihatan yang merupakan barisan hadapan.
Ditanya mengenai kebimbangan yang diluahkan Kesatuan Jururawat Malaya mengenai pelaksanaan yang dianggap bakal membebankan barisan hadapan itu, Dzulkefly berkata, keputusan yang diambil KKM telah dipertimbangakan dengan sebaiknya.
“Akhirnya nanti kita akan saksikan waktu kerja seminggu adalah empat hingga enam hari sahaja dan satu hingga tiga hari waktu rehat seminggu.
“Jadi saya harap perkara ini sangat penting dan andainya kalau ada apa pun kita akan sedia menimbang meningkatkan lagi kebajikan keseimbangan dalam kehidupan dan pekerjaan khususnya untuk jururawat di KKM,” katanya.
Terdahulu media melaporkan beberapa pihak menyuarakan kebimbangan mengenai arahan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan memerlukan jururawat di wad hospital untuk bekerja tambahan tiga jam seminggu.
Mulai 1 Disember, jururawat yang bekerja secara syif dikehendaki bekerja selama 45 jam seminggu, bertambah daripada 42 jam ketika ini.
Susulan arahan ini, hospital sedang mempertimbangkan untuk menyemak semula waktu syif semasa kepada 7 pagi–3 petang, 3 petang–10 malam, dan 10 malam–7 pagi keesokan hari. Pada masa ini, waktu syif adalah 7 pagi–2 petang, 2 petang–9 malam, dan 9 malam–7 pagi keesokan harinya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
KKM tingkat bilangan pelatih jururawat penuhi keperluan industri