Wan Ahmad Farid Ketua Hakim Negara yang baharu

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilantik sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib, awal bulan ini.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) lewat malam ini, Majlis Raja-Raja yang bersidang turut berkenan melantik Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan yang baharu.

Wan Ahmad Farid menggantikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang mencapai umur persaraan wajib 66 tahun, 3 Julai lalu.

Menurut kenyataan itu, Majlis Raja-Raja turut berkenan melantik Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak menggantikan pemegang jawatan itu yang bakal bersara.

“Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong akan diadakan pada 28 Julai 2025 di Istana Negara,” demikian menurut kenyataan itu.

Pelantikan itu dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja berkenan melantik ketiga-tiganya ke jawatan hakim mahkamah atasan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI