Wan Mahussin gesa Rafizi perjelas isu kontrak, desakan tukar KP SPRM

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Jeli, Wan Mahussin Wan Zain mempersoalkan dakwaan yang tular mengaitkan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dengan pemberian kontrak ratusan juta ringgit ketika masih memegang jawatan dalam kerajaan.

Wan Mahussin berkata, pendedahan oleh seorang pempengaruh popular, Caprice itu berpotensi membentuk persepsi dalam kalangan rakyat, khususnya berkait dengan desakan Rafizi supaya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditukar.

“Perkara ini boleh mewujudkan persepsi keterujaan beliau untuk menukar Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah bagi menutup satu kes yang sedang dibongkarkan,” soalnya dalam laman Facebook beliau.

Menurut Wan Mahussin, sekiranya dakwaan berkenaan mempunyai asas, Rafizi wajar tampil bertanggungjawab dan memberi penjelasan kepada rakyat.

“Jika ia benar, beliau perlu bertanggungjawab dan bertindak. Tetapi jika ia hanya satu tuduhan liar, beliau juga perlu mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang,” ujarnya.

Beliau berkata, isu itu turut menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat mengenai motif sebenar desakan terhadap Azam Baki, termasuk penganjuran perhimpunan atau gesaan supaya Ketua Pesuruhjaya SPRM digantikan.

“Rakyat akan tertanya-tanya, mengapa perkara ini berlaku dan apakah tujuan sebenar tindakan tersebut,” katanya.

Wan Mahussin turut mengingatkan supaya mana-mana pihak tidak cuba mengalihkan perhatian daripada sesuatu isu dengan menimbulkan polemik baharu.

“Kita tidak mahu sesuatu isu dicondongkan untuk menutup perkara lain yang sedang dipersoalkan,” katanya.

Dalam video sama, beliau juga menyentuh mengenai dakwaan melibatkan jumlah kerugian besar yang menurutnya perlu disiasat secara telus kerana melibatkan dana kerajaan dan kepentingan rakyat.

“Perkara ini bukan kecil. Jika benar melibatkan jumlah besar, ia perlu dijelaskan kepada rakyat,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan, semua pihak perlu memberi ruang kepada siasatan dan proses undang-undang tanpa membuat sebarang keputusan awal.

Caprice sebelum itu membuat pendedahan menerusi platform media sosialnya dengan mendakwa pihaknya menerima maklumat daripada seorang whistleblower berhubung dakwaan penglibatan seorang ahli perniagaan yang juga didakwa memiliki saham dalam syarikat milik Rafizi, Invoke Solutions Sdn Bhd.

Menurut Caprice, individu berkenaan didakwa telah diberikan kontrak bernilai ratusan juta ringgit ketika Rafizi masih memegang jawatan sebagai Menteri Ekonomi.

Caprice turut memuat naik gambar yang memaparkan Rafizi bersama ahli perniagaan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat dalam satu majlis selain mempersoalkan sama ada kelantangan Rafizi dalam isu melibatkan Azam Baki mempunyai kaitan dengan dakwaan ‘skandal’ tersebut.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Rafizi berhubung dakwaan yang dibangkitkan dalam video Caprice. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI