Wan Shaharuddin tinggalkan SPRM, kembali bertugas di AGC awal bulan depan

KUALA LUMPUR – Timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes rasuah berprofil tinggi, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin kembali bertugas di Jabatan Peguam Negara (AGC) selepas berkhidmat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama hampir tujuh tahun.

Pengarah Perundangan dan Pendakwaan SPRM itu ditukarkan ke jawatan Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan II, AGC berkuat kuasa 2 Mac ini iaitu dalam tempoh kurang seminggu.

Arahan pertukaran itu dimaklumkan melalui surat bertarikh semalam yang ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar. Surat itu diperoleh pihak media hari ini.

Difahamkan, pertukaran itu tidak melibatkan kenaikan pangkat buat masa ini berdasarkan surat yang menyatakan ia merupakan `jawatan terapung’.

Kelmarin, Wan Shaharuddin, 55, selaku timbalan pendakwa raya kanan, hadir di Mahkamah Tinggi di sini mengendalikan pengurusan kes Jana Wibawa melibatkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau kerap mengetuai pasukan pendakwaan SPRM bagi kes kepentingan awam termasuk penyelewengan dana Armada melibatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kini menunggu keputusan rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan.

Wan Shaharuddin turut mengendalikan pendakwaan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan bekas Ketua Menterinya, Lim Guan Eng yang masih di peringkat akhir kes pendakwaan.

Beliau turut terlibat dalam pendakwaan kes bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony yang sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 kerana pemalsuan dokumen.

Ketika dihubungi MalaysiaGazette, Wan Shaharuddin berkata, meskipun berpindah ke AGC, beliau tetap `turun padang’ mengendalikan rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

“Selain itu, saya dijadual menyelesaikan perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng di Mahkamah Sesyen yang saya kendalikan sejak awal dan kini di peringkat akhir pendakwaan,” ujarnya.

Selaku timbalan pendakwa raya berpengalaman, beliau juga menjalankan pendakwaan kes melibatkan SPRM antaranya kes penguasa kanan agensi itu yang didakwa pecah amanah.

Bulan lalu, Wan Shaharuddin turut mengetuai pendakwaan kes bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan atas empat pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang berjumlah RM2.12 juta.

Beliau malah tidak berkompromi dengan tohmahan dan tuduhan `liar’ yang dilemparkan terhadap SPRM dengan membela integriti agensi itu ketika berhujah dalam rayuan terhadap pembebasan Syed Saddiq.

Beliau ditukarkan ke SPRM pada 2019 ketika jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM dipikul oleh Latheefa Koya.

Sebelum ke SPRM, Wan Shaharuddin berkhidmat selama 24 tahun di AGC serta mengendalikan sejumlah kes berprofil tinggi dan kepentingan awam.

Antaranya termasuk kes pembunuhan Pengasas Ambank Hussein Ahmad Najadi, kes kematian Kim Chol atau abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam, Timbalan Pendakwa Raya mendiang Datuk Anthony Kevin Morrais serta mengendalikan rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan berkaitan pencerobohan Lahad Datu, Sabah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI