TAPAH – Seorang wanita mendakwa gambar suaminya digunakan tanpa izin untuk bahan kempen parti politik pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Wanita berusia 41 tahun itu mendakwa gambar suaminya dikatakan bersama calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek telah dipaparkan pada poster untuk kempen parti politik berkenaan.
“Gambar tersebut telah disalah guna pakai oleh Parti PN tanpa pengetahuan suami saya sendiri.
“Untuk makluman, suami saya ada jawatan dalam Parti Barisan Nasional (BN) sebagai Pemangku Pusat Daerah Mengundi (DPM) Temoh Stesen,” katanya menerusi satu laporan polis.
Susulan itu wanita berkenaan dikatakan tampil membuat laporan polis bagi sebagai tindakan perlindungan.
“Saya membuat laporan (polis) ini untuk ‘covering repot’ ke atas diri suami saya jika hal ini berbangkit kemudian hari,” katanya lagi.
Sementara itu Malaysia Gazette (MG) Perak sedang berusaha mendapatkan pengesahan daripada pihak polis berhubung perkara berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PRK Ayer Kuning: Calon BN, PN bertembung kempen di pasar tani