ALOR SETAR – Seorang wanita ditemukan maut dengan kesan tikaman disyaki dibunuh di sebuah rumah di Jalan Tanjung Bendahara di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Syed Basri Syed Ali berkata Zahrullail Basir, 52, ditemukan dengan tiga kesan tikaman pada bahagian badan termasuk perut serta kesan luka pada kepala dan tapak tangan.
“Pusat Kawalan Daerah Kota Setar menerima panggilan telefon pada 8.45 pagi daripada seorang lelaki memaklumkan berlaku kejadian bunuh melibatkan ibunya yang disyaki ditikam pada badan dan dipukul pada kepala.
“Mangsa tinggal bersama tiga anaknya dan siasatan awal mendapati beg tangan mengandungi telefon bimbit, wang tunai dan barang kemas telah hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syed Basri berkata mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk bedah siasat.
Beliau berkata polis masih menjalankan siasatan lanjut dan giat mengesan seorang lelaki Amirul Shafiq Shamsul Zahari dengan nombor kad pengenalan 970524-02-5557 untuk membantu siasatan.
Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih dan mereka mempunyai maklumat berkaitan diminta hadir ke balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar atau menghubungi talian 04-774 7222.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan minimum 12 kali jika sabit kesalahan.
— BERNAMA


