MANJUNG – Seorang wanita nyaris maut selepas dihempap dahan pokok yang tumbang di Taman Eko Rimba Segari, Pantai Remis, di sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, seramai sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 8.24 malam.
Menurutnya, ketika kejadian, mangsa sedang duduk di gazebo lalu dihempap dahan pokok tumbang.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati terdapat sebatang pokok tumbang telah menghempap sebuah gazebo dan sebuah kereta jenis Honda City.
“Kejadian itu turut mengakibatkan seorang mangsa wanita berusia 29 tahun yang berada di gazebo di itu cedera di kepala selepas dihempap dahan pokok tersebut,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.
Beliau berkata, bagaimanapun, mangsa terbabit sudah dibawa ke hospital menaiki ambulans milik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum pihak bomba tiba.
“Anggota kemudian melakukan kerja-kerja pemotongan dahan pokok yang menghalang laluan dengan menggunakan gergaji berantai sehingga keadaan selamat,” jelasnya.
Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.35 malam. – MG Perak
Artikel Berkaitan: