IPOH – Seorang wanita warga Indonesia tersepit selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki terbabit dalam nahas jalan raya dengan sebuah lori lima tan yang membawa muatan sayur di Jalan Kampung Juang, Simpang Pulai, dekat sini, pada Jumaat.
Kemalangan yang membabitkan tiga mangsa itu dipercayai berpunca daripada dua kenderaan terbabit yang bertembung.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.52 pagi.
Katanya, sejurus selepas itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Dalam nahas jalan raya berkenaan, pemandu MPV jenis Toyota Alphard iaitu lelaki warga Indonesia berusia 60 tahun selamat, manakala penumpang wanita senegara berusia 50 tahun tersepit dan cedera pada bahagian kaki.
“Sementara pemandu lori muatan sayur iaitu lelaki warga tempatan berusia 40 tahun juga mengalami kecederaan pada bahagian kaki,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Shazlean berkata, pasukan bomba menggunakan peralatan hidraulik bagi mengeluarkan mangsa tersepit dan cedera sebelum menghantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Muhammad Izzat Ismail tamat pada jam 12.44 tengah hari. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Van langgar tembok, pemandu wanita tersepit