Wanita maut motosikal terbabas rempuh tembok

LUMUT – Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu merempuh tembok batu dalam kejadian di kampung nelayan, Jalan SKN Pekan Lama, Pantai Remis, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden yang menimpa mangsa berusia 44 tahun itu sekitar jam 10.15 pagi.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku sewaktu mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Vario dalam perjalanan dari arah tokong Sian Tian San menghala ke arah pelantar ke kawasan kampung nelayan tersebut.

“Motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan selepas tongkat motosikal bergesel dengan batu penghadang jalan sebelah kiri lalu terbabas dan merempuh tembok batu di kawasan berkenaan.

“Mangsa disahkan maut di lokasi dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan tersebut diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Asyraf Henry Philip di talian 016-557 2540. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Penolong pegawai perubatan maut nahas ambulans, treler

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI