Wanita melecur 70 peratus minggu lalu meninggal dunia

IPOH – Seorang lagi mangsa yang melecur 70 peratus selepas terbabit dalam kebakaran melibatkan dua kenderaan yang diparkir di hadapan sebuah rumah di Taman Utama, Bercham di sini, minggu lalu, disahkan meninggal dunia malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, berkata, wanita berusia 57 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sekitar jam 9.48 malam semalam selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan sejak 28 Februari lalu.

Menurutnya, sebelum ini pasangan kepada wanita terbabit iaitu lelaki berusia 64 tahun turut dirawat di hospital sama namun meninggal dunia sehari selepas kejadian tersebut berlaku.

“Lelaki terbabit telah meninggal dunia pada 29 Februari lalu sekitar jam 6.52 petang dan wanita yang turut terlibat dalam kejadian sama disahkan meninggal dunia semalam.

“Justeru, semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi serta memberi ruang kepada polis melakukan siasatan secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 019-250 0019 bagi membantu siasatan.

MG Perak sebelum ini melaporkan kedua-dua mangsa melecur dan tidak sedarkan diri selepas terbabit dalam kebakaran melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan motosikal jenis Honda C70 yang diparkir di hadapan sebuah rumah di Taman Utama, Bercham.

Sehubungan itu, polis mengklasifikasikan kes tersebut dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh apabila seorang saksi dipercayai terdengar pertengkaran antara kedua-dua mangsa sebelum kejadian. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Seorang daripada pasangan suami isteri melecur meninggal dunia

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI