IPOH – Seorang wanita yang bertindak naik ke pentas utama dan mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Tahun 2025 di hadapan Dewan Bandaran semalam direman tiga hari.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, perintah tahanan reman bermula hari ini hingga Rabu terhadap wanita berusia 41 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Wardah Nabilah Mohd Abd Wahab di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
“Penahanan itu bagi membolehkan suspek disiasat mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah,” katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Isnin.
Terdahulu, suspek tiba di IPD Ipoh menaiki kereta polis pada jam 10.15 pagi dengan memakai pakaian serba hitam sebelum keluar daripada premis itu kira-kira sejam kemudian.
Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku pada jam 8.20 pagi sewaktu lagu Kebesaran Negeri Perak sedang berkumandang.
Beliau berkata, suspek naik melalui bahagian tepi pentas sebelum berjaya ditahan oleh anggota keselamatan yang bertugas di lokasi.
Katanya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah selain rekod rawatan psikiatri dan kini berada di bawah pengawasan pakar.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek didapati negatif. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis tahan wanita dekati, cuba datang kecederaan Sultan Perak