IPOH – Wanita yang bertindak naik ke pentas utama dan mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Tahun 2025 di hadapan Dewan Bandaran, Ahad lalu akan dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan, di sini.
Ketua Polis Perak, Datuk Datuk Noor Hisam Nordin berkata, suspek berusia 41 tahun itu masih belum dituduh di mahkamah selepas tempoh reman selama tiga hari berakhir pada hari ini.
Menurutnya, pihaknya dalam proses menunggu masih arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.
“Reman tamat hari ini dan kita rujuk suspek ke HBUK untuk pemantauan lanjut mengikut peruntukan Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615) dan siasatan kes ini telah selesai dijalankan.
“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perak dan akan dimajukan ke AGC, Putrajaya bagi mendapat arahan serta keputusan lanjut.
“Sebarang perkembangan lanjut berhubung keputusan kes akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak tepat kerana ia boleh mengganggu proses siasatan dan menggugat ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam kejadian tersebut, suspek warga tempatan itu bertindak naik melalui bahagian tepi pentas sebelum berjaya ditahan oleh anggota keselamatan yang bertugas di lokasi.
Kejadian itu berlaku sekitar jam 8.20 pagi sewaktu lagu Kebesaran Negeri Perak sedang dimainkan.
Berdasarkan semakan, wanita terbabit memiliki rekod lampau bersabit kes dadah selain rekod rawatan psikiatri dan sedang berada di bawah pengawasan pakar.
Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek juga mendapati wanita itu negatif dadah.
Isnin lalu, Majistret Wardah Nabilah Mohd Abd Wahab membenarkan permohonan polis untuk menahan reman suspek selama tiga hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Wanita naik pentas dekati Sultan Perak direman tiga hari