Wanita tiada lesen beri alasan terlepas simpang jalan ketika ditahan JPJ

PETALING JAYA – Seorang penunggang motosikal wanita yang tidak mempunyai lesen memberi alasan terlepas simpang jalan ke rumahnya semasa ditahan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini malam tadi.

Malah wanita berusia 23 tahun yang membonceng rakannya itu ditahan di Plaza Tol PJS 2 berhampiran Taman Perumahan Datuk Harun menghala ke Subang itu turut tidak membawa kad pengenalan.

Siasatan mendapati wanita itu sedang dalam perjalanan dari sebuah kedai makan selepas berbuka puasa dengan menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC itu terlepas simpang jalan ke destinasi sebenarnya sebelum mengikuti laluan yang membawa ke plaza tol PJS 2 dan terkejut dengan operasi Khas Motosikal oleh JPJ.

“Maaf tuan, saya dalam perjalanan pulang ke rumah. Saya tersalah jalan, sepatutnya masuk simpang di belakang sana (pulang ke rumah) tapi terlajak ke sini (sekatan),” katanya yang merupakan pekerja sebuah hospital swasta.

Susulan itu motosikal wanita terbabit disita bersama dengan 39 lagi motosikal oleh JPJ Selangor dalam Op Khas Motosikal bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri (HRA) bermula 9 malam tadi.

Operasi yang berakhir kira-kira 12 tengah malam itu turut berjaya mengesan segelintir penunggang yang bertindak memecut laju bagi mengelak ditahan hingga hampir melanggar anggota bertugas.

Dalam operasi sama motosikal berkuasa tinggi ditunggang seorang pelajar warga Bangladesh yang gagal mempamerkan lesen memandu turut disita dalam operasi yang sama.

Pelajar warga Bangladesh yang motosikalnya disita kerana tidak mempunyai lesen antarabangsa dalam operasi khas Motosikal oleh JPJ Selangor di PJS 2 Taman Datuk Harun tengah malam tadi.

Dalam pada itu, Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, dalam operasi itu sebanyak 497 motosikal telah diperiksa oleh pasukan operasi JPJ.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 192 motosikal telah dikenakan tindakan termasuk saman dan juga sitaan atas pelbagai kesalahan di atas jalan raya.

JPJ Selangor telah mengeluarkan sebanyak 395 saman atas pelbagai kesalahan atas jalan raya dan kesalahan paling tinggi adalah tiada lesen memandu kompeten (CDL) iaitu sebanyak iaitu 117 kes, CDL tamat tempoh (39), cukai jalan tamat tempoh (55 kes), tiada insurans (42 kes), nombor pendaftaran (26 kes), kesalahan teknikal (45 kes) dan selebihnya lain-lain kesalahan.

Tambah beliau, tindakan lain yang telah diambil ke atas penunggang motosikal dalam Op Khas itu termasuklah notis larangan penggunaan kenderaan serta notis arah periksa selepas mendapati tidak selamat dibenarkan berada atas jalan raya.

Justeru katanya, selain tindakan penguatkuasaan JPJ turut mengambil tindakan proaktif iaitu advokasi mengenai pemakaian topi keledar yang mengikut piawaian dan selamat kepada pengguna motosikal dalam operasi tersebut.

“Kita dalam operasi sama turut menukar topi keledar yang rosak dan tidak ikut spesifikasi kepada penunggang motosikal dan ia turut diberikan kepada kanak-kanak yang membonceng motosikal supaya mereka meneruskan perjalanan di atas jalan raya dalam keadaan selamat dan dilindungi.

“Kami (JPJ) berharap pelaksanaan Op HRA bermula 1 hingga 20 April ini bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dapat mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya khususnya membabitkan penunggang motosikal,” katanya.

Sebarang aduan mengenai trafik, orang ramai boleh menyalurkan maklumat mereka di talian hotline JPJ Selangor 03-556 69442 atau melalui emel aduantrafik@jpj.gov.my atau platform e-Aduan@JPJ. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI