MANJUNG – Polis menahan seorang wanita warga Vietnam bagi membantu kes kebakaran tiga buah rumah dalam kejadian di Taman Singa, Sitiawan dekat sini awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian kebakaran tersebut daripada pemilik rumah, lelaki berusia 42 tahun sekitar jam 2.50 pagi semalam.
Menurutnya, kebakaran merebak dengan pantas dan mengakibatkan dua buah rumah berhampiran turut terbakar.
“Bagaimanapun, pihak bomba berjaya mengawal kebakaran lebih kurang 30 minit yang berpusat dari garaj rumah berkenaan.
“Pemeriksaan pihak bomba mendapati kebakaran berkenaan mengakibatkan 90 peratus rumah bersama dua buah kereta serta sebuah motosikal milik pengadu telah terbakar.
“Sementara itu, dua buah rumah lagi mengalami kebakaran di antara 20 hingga 40 peratus serta sebuah buah motosikal juga turut terbakar namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kelibat seorang lelaki membawa dua tong berisi cecair bahan bakar ke arah rumah mangsa dan melarikan diri selepas api mula menyala.
“Susulan kejadian itu, seorang wanita warga Vietnam berusia 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Setakat ini motif sebenar kejadian tersebut masih dalam siasatan dan kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes tersebut untuk menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nur Munawara Ahmad di talian 0111-624 0391 atau menerusi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-688 6222. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kebakaran Arena Square: Penganjur majlis hari jadi direman seminggu
[…] Wanita Vietnam ditahan susulan kejadian kebakaran 3 rumah […]