TAPAH – Seorang wanita warga emas cedera dalam kejadian langgar lari oleh sebuah motosikal ketika sedang berjoging di kawasan Bukit Pagar menghala ke arah bangunan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Tapah, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Johari Yahya berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 69 tahun berhubung kejadian itu pada jam 10.43 malam.
Katanya, siasatan awal mendapati wanita berkenaan yang sedang berjoging telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah motosikal yang tidak dapat dipastikan nombor pendaftaran pada jam 5.40 petang.
“Selepas kejadian, motosikal berkenaan terus berlalu pergi, manakala mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kaki sebelah kanan, serta muka dan mendapat rawatan di Hospital Teluk Intan.
“Polis membuka kertas siasatan berhubung kemalangan itu di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanta dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Justeru Johari berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian terbabit diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Polis Tapah, Sarjan Mohd Ismadi Ishak di talian 014-3848827.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memandu dengan berhemah dan mengamalkan sikap bersabar di jalan raya agar dapat mengelakkan daripada berlakunya kejadian tidak diingini,” tambahnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


