Wanita warga emas cekal jaga suami sakit paru-paru kronik, anak OKU

PADANG RENGAS – Pada usia yang sepatutnya dilalui dengan berehat dan menikmati hari tua, seorang wanita warga emas di Kampung Batu 17, dekat sini sebaliknya terus cekal memikul tanggungjawab besar menjaga ahli keluarga yang diuji dengan masalah kesihatan.

Hanim Azuar Mohamad, 69, mengurus suami, Mohd Sapiee Kamarudin, 74, yang terpaksa bergantung kepada mesin bantuan oksigen, selain menjaga anak lelaki bongsu orang kurang upaya (OKU) sindrom Down yang memerlukan penjagaan sepenuh masa.

Beliau berkata, suaminya disahkah menghidap penyakit paru-paru kronik sejak enam tahun lalu dan kerap berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.

wanita warga emas jaga suami sakit kronik dan anak OKU warga emas cekal jaga keluarga suami hidap penyakit paru-paru kronik anak OKU sindrom Down bantuan kebajikan di Padang Rengas kisah keluarga miskin Perak
Warga emas, Hanim Azuar Mohamad, 69, ketika ditemubual media pada Program Ziarah Kasih MADANI di Kampung Batu 17, Padang Rengas. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 JANUARI 2026.

“Suami saya sudah lama duduk di rumah sahaja, jika keluar hanya berulang-alik ke Hospital Taiping dengan dibawa ambulans, namun jika keadaan terlalu kronik, dia perlu dibawa ke Hospital Kuala Kangsar.

“Doktor memang syorkan suami saya untuk menggunakan mesin oksigen dengan ia disewa dari Hospital Taiping dengan bayaran bulanan RM200.

“Anak-anak berkongsi-kongsi bayar setakat mana yang mampu namun, baru-baru ini kami ada memohon bantuan Baitulmal dan saya harap ia dapat diluluskan,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu 17, dekat sini.

Warga emas, Mohd Sapiee Kamarudin, 74, yang menghidap penyakit paru-paru kronik ketika Program Ziarah Kasih MADANI di Kampung Batu 17, Padang Rengas. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 JANUARI 2026.

Ibu kepada sembilan anak itu berkata, suaminya yang sebelum ini bekerja sebagai tukang rumah tidak mempunyai sebarang pencen atau simpanan tetap.

Hanim Azuar berkata, sebaliknya mereka bergantung kepada bantuan bulanan Baitulmal, Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk anak OKU serta sokongan kewangan anak.

Katanya, kos perbelanjaan bulanan untuk menguruskan keperluan asas keluarga dianggarkan antara RM500 hingga RM600, termasuk bil elektrik bagi penggunaan mesin oksigen, selain perbelanjaan harian lain.

Mengulas lanjut katanya, anak bongsu berusia 32 tahun yang menghidap sindrom Down tidak lagi mampu menguruskan diri seperti biasa, sekali gus memerlukan pemantauan dan penjagaan sepenuh masa.

wanita warga emas jaga suami sakit kronik dan anak OKU warga emas cekal jaga keluarga suami hidap penyakit paru-paru kronik anak OKU sindrom Down bantuan kebajikan di Padang Rengas kisah keluarga miskin Perak
Warga emas, Hanim Azuar Mohamad, 69, menunjukkan keadaan rumahnya ketika Program Ziarah Kasih MADANI di Kampung Batu 17, Padang Rengas. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 JANUARI 2026.

“Sebelum ini dia boleh uruskan diri sendiri, tetapi sekarang keadaan dia makin teruk sehingga tidak mampu untuk berbuat demikian.

“Jika dia hendak mandi, atau bersihkan diri, semuanya saya yang uruskan. Kadang-kadang kalau dia tak sempat ke tandas, saya juga yang kena bersihkan,” katanya lagi.

Menurut Hanim Azuar, dalam usianya yang menjengah 70 tahun, situasi yang dihadapinya itu adakala mencabar kekuatannya, namun dia perlu kuat dalam menjaga sepenuh masa suami dan anak OKU di rumah.

wanita warga emas jaga suami sakit kronik dan anak OKU warga emas cekal jaga keluarga suami hidap penyakit paru-paru kronik anak OKU sindrom Down bantuan kebajikan di Padang Rengas kisah keluarga miskin Perak
Warga emas, Mohd Sapiee Kamarudin, 74, yang menghidap penyakit paru-paru kronik ketika Program Ziarah Kasih MADANI di Kampung Batu 17, Padang Rengas. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 JANUARI 2026.

“Kalau ikutkan keadaan saya di usia ini memang tidak ada daya. Untuk pengurusan suami, tidak terlalu bermasalah cuma anak OKU saya sahaja yang memerlukan tumpuan serta penjagaan rapi.

“Kadang-kadang ada juga rasa tertekan, namun nak buat macam mana, sebaliknya saya perlu reda dengan keadan ini. Anak-anak lain ada juga membantu, namun mereka pun membantu apa yang termampu,” ujarnya.

Rumah uzur terjejas banjir

Hanim Azuar turut berhadapan dengan keadaan rumah yang didiami sejak lebih 40 tahun sering terjejas akibat banjir susulan kedudukannya berhampiran dengan Sungai Kangsar.

Katanya, bahagian dapur dan bilik tidur anak OKU  antara bahagian yang teruk terjejas, malah struktur lantai semakin mendap akibat keadaan banjir dan hujan lebat berterusan.

Keadaan rumah pasangan warga emas, Mohd Sapiee Kamarudin, 74, yang menghidap penyakit paru-paru kronik dan isteri Hanim Azuar Mohamad, 69, ketika Program Ziarah Kasih MADANI di Kampung Batu 17, Padang Rengas. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 JANUARI 2026.

“Banjir menyebabkan bahagian dapur menjadi semakin rendah ekoran tiang rumah mendap. Jika saya mahu ke dapur, rasanya seperti terjun ke bawah.

“Saya berharap ada mana-mana pihak yang dapat membantu membaiki rumah ini. Kalau boleh, saya mahu ruang dapur dinaikkan supaya selaras dengan ruang tamu selain kerja baik pulih pada lantai, dinding dan atap,” katanya lagi.

wanita warga emas jaga suami sakit kronik dan anak OKU warga emas cekal jaga keluarga suami hidap penyakit paru-paru kronik anak OKU sindrom Down bantuan kebajikan di Padang Rengas kisah keluarga miskin Perak
Warga emas, Hanim Azuar Mohamad, 69, menunjukkan keadaan rumahnya ketika Program Ziarah Kasih MADANI di Kampung Batu 17, Padang Rengas. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 JANUARI 2026.

Dalam pada itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim yang mengadakan kunjungan ke rumah Hanim memaklumkan, keadaan kediaman berkenaan memerlukan penyelesaian menyeluruh.

Kata beliau, pihaknya akan mengangkat cadangan berkenaan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) negeri, termasuk keperluan kerja tanah bagi mengelakkan limpahan air pada masa hadapan.

“Kita mencadangkan agar sebuah rumah baharu dapat dibina untuk keluarga Hanim Azuar kerana jika rumah sedia ada hanya dibaik pulih, ia mungkin memakan kos antara RM15,000 hingga RM20,000 tetapi sifatnya sementara,” katanya.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menyantuni warga emas, Mohd Sapiee Kamarudin, 74, ketika Program Ziarah Kasih MADANI di Kampung Batu 17, Padang Rengas. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 JANUARI 2026.

Tambah beliau, lawatan berkenaan adalah sebahagian daripada program ziarah ke 10 buah rumah penduduk sekitar kawasan Parlimen Padang Rengas yang berdepan pelbagai isu termasuk masalah kesihatan, kehilangan pekerjaan dan kemiskinan.

“Kesemua mereka kita santuni atas semangat MADANI yang mana kita bukan sekadar bercakap tentang soal pembangunan infrastruktur yang besar sahaja.

“Sebaliknya sebagai pemimpin kita turun padang ke masyarakat bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang mereka hadapi,” ujarnya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Petani warga emas jaga dua anak sakit kronik

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI