BAGAN DATUK – Seorang wanita warga emas dikhuatiri hilang dalam kawasan kebun selepas tidak pulang ke rumah di Kampung Teluk Kerdu, Hutan Melintang sejak Selasa.
Mangsa dikenali sebagai Halimah Idris dan berusia 77 tahun itu dipercayai kali terakhir dilihat keluarga dan penduduk kampung di sekitar kawasan berkenaan pada jam 4 petang.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada Khamis.
Katanya, sejurus selepas itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang diatur gerak bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
Katanya, operasi SAR warga emas itu dibahagikan kepada empat sektor yang terdiri daripada pasukan bomba, unit anjing pengesan (K9), polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.
“Pasukan SAR digerakkan pada jam 9 pagi Jumaat dengan mengikuti jejak terakhir dari lokasi mangsa dipercayai kelihatan.
“Operasi berkenaan mengunakan kaedah ‘’sweep searching’ dengan melibatkan kawasan pencarian dalam radius lima kilometer (km),” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Difahamkan, lokasi pencarian wanita warga emas itu tertumpu kepada kawasan sekitar rumah mangsa yang juga merupakan kawasan kebun kelapa sawit dan ladang tanaman pisang.
Mengulas lanjut, Shazlean berkata, SAR pada Jumaat ditangguhkan pada jam 6.39 petang dan akan disambung semula pada jam 8 pagi Sabtu.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Faris Zahir itu melibatkan 39 keseluruhan anggota SAR termasuk penduduk kampung. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


