KETIBAAN Ramadan sentiasa dinantikan dengan penuh keterujaan, meskipun kudrat dua wanita warga emas yang menjengah pada usia 100 tahun di Bagan Serai tidak sama seperti dahulu.
Namun ketika meniti di usia emas itu, kedua-dua mereka masih mampu mengurus diri dan menjalani rutin harian seperti biasa, di samping masih boleh menunaikan ibadah berpuasa dengan baik.
Di Kampung Depan Balai Polis, Bagan Serai, warga emas, Siah Saad, 102, sentiasa berasa teruja apabila Ramadan menjelang pada setiap tahun.

Menurut anaknya, Normadiah Mahmood, 60, ibunya hanya menghidap darah tinggi, namun tidak mempunyai penyakit kronik lain yang membataskan pergerakan.
Malah katanya, ibunya itu masih mempunyai ingatan yang kuat serta masih mampu membaca al-Quran dengan lancar.
“Aktiviti harian ibu banyak diisi dengan ibadah seperti banyak menunaikan solat sunat dan membaca al-Quran selain ingatannya masih kuat.
“Pernah juga kami bertanya apa rahsia untuk kekal sihat pada usia 102 tahun, dia menjawab tidak ada apa-apa yang pelik sebaliknya hanya banyakkan berzikir,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed di Bagan Serai baru- baru ini.
Normadiah berkata, pada hari kebiasaan, rutin harian ibunya bermula seawal sebelum subuh dengan berzikir dan membaca al-Quran selepas solat, hingga tiba waktu duha.
Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, Siah hanya akan berehat seketika antara waktu-waktu solat sebelum menyambungnya dengan amalan sama selepas selesai menunaikan solat fardu.
Bulan Seribu Bulan yang disambut dengan teruja
Normadiah memberitahu, sifat keterujaan ketika menyambut Ramadan yang tidak pernah pudar pada jiwa ibunya menjadi inspirasi dan pengajaran buat seluruh ahli keluarga.
“Kalau esok sudah tiba hari berpuasa, hari ini dia sudah minta kami beli pelbagai barangan untuk dimasak bagi juadah bersahur atau berbuka. Lauk kegemaran dia adalah ayam masak rendang dan masak merah.
“Setiap kali pada waktu untuk bersahur atau berbuka, dia akan menjadi orang terawal yang berada di meja makan,” katanya lagi.

Normadiah berkata, di sebalik keterujaan itu ibunya sering mengingatkan ahli keluarganya untuk sentiasa bersederhana ketika menjamah juadah kerana dikhuatiri mengabaikan ibadat solat.
“Misalnya ketika berbuka, ibu akan minta kami makan dan minum sedikit, dan terus menunaikan solat maghrib. Dia selalu pesan pada kami, ‘makanan tak lari ke mana, makan kurma dan pergi sembahyang’,” ujarnya.
Terdahulu Salbiah menyantuni Siah yang juga penerima manfaat daripada Program Bantuan Kad Perak Sejahtera dengan menyampaikan sumbangan tunai dan bakul makanan bagi menyambut Ramadan.

Mengulas lanjut Normadiah berkata, Kad Perak Sejahtera amat membantu keluarganya terutama buat ibu dalam mendapatkan barangan keperluan asas untuk kehidupan harian.
“Ibu merupakan penerima manfaat Kad Perak Sejahtera sejak dari tahun 2020 dan bantuan bulanan sebanyak RM100 melalui kad itu membantu meringankan beban kami.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas keprihatinan buat ibu saya melalui program lawatan dan bantuan yang dihulurkan,” katanya lagi.
Jiran seperti keluarga sendiri
Sementara itu sekitar tiga kilometer, di Parit Mentara 2, Kampung Masjid Tinggi, Rayah Sukor, yang berusia 100 tahun, juga berkongsi rasa keterujaan yang sama ketika menyambut Ramadan.
Menurut jirannya, Hamidah Amer, 64, wanita yang mesra disapa ‘angah’ dalam loghat Banjar itu lebih gemar memasak sendiri juadah bersahur dan berbuka berbanding membelinya di luar.

“Angah memang lebih suka masak sendiri lauk-pauk berbanding beli di kedai atau bazar Ramadan.
“Walaupun duduk berjauhan, namun anak-anaknya secara rutin akan menemani ibu mereka untuk berbuka puasa atau menemaninya pada hari kebiasaan.
“Anak-anak pun ada mempelawa Rayah untuk tinggal bersama mereka, namun dia lebih selesa untuk tinggal di rumahnya sendiri,” katanya.

Hamidah berkata, meskipun tiada pertalian darah, namun dia sudah menganggap Rayah sebagai ibunya sendiri.
Menurutnya, hampir setiap hari dia akan singgah ke rumah warga emas itu untuk menjenguk dan memastikan keadaan wanita itu sentiasa berada dalam keadaan baik.
“Rumah kami bersebelahan dan saya sering bantu keluarga angah untuk periksa keadaan ibu mereka.
“Kadang-kadang pada waktu pagi saya datang tengok dia buat apa, dan petang pun datang tengok dia lagi. Kalau dia teringin makan buah-buahan, saya pergi belikan di kedai,” ujarnya lagi.

Tambah Hamidah, dia kagum dengan keadaan Rayah yang masih boleh berjalan serta menyapu di halaman rumah walaupun sudah berusia 100 tahun.
“Selalu juga dia berjalan kaki singgah di rumah saya dan ada kala dia juga masih kuat untuk mengail ikan di tali air di hadapan rumah,” katanya.
Salbiah ketika ditemui pada program berkata, kedua-dua warga emas ini merupakan antara peserta terawal di bawah Program Kad Perak Sejahtera.

“Kita menyantuni mereka dan ketika berbual, mereka menzahirkan rasa syukur dengan bantuan yang diberikan kerana ia amat membantu untuk mereka mendapatkan barang keperluan dapur,” kata beliau.
Siah dan Rayah merupakan peserta paling berusia antara 21,000 individu di negeri ini yang menerima manfaat daripada program Kad Perak Sejahtera yang membabitkan peruntukan sebanyak RM24.5 juta.
Program berkenaan merupakan antara inisiatif di bawah Sasaran Sejahtera Sosial menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang diinspirasikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Komuniti perlu main peranan aktif pelihara kebajikan warga emas


