IPOH – Polis sedang giat mengesan penunggang motosikal yang terlibat dalam kejadian ragut sehingga mencederakan seorang warga emas di Simpang Pulai, dekat sini, sebagaimana dalam hantaran tular, pada selasa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata, pihaknya menerima laporan polis berhunung kejadian itu pada jam 1.35 tengah hari.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati wanita berusia 62 tahun telah dipukul dan rantai diragut seorang lelaki warga tempatan yang menaiki motosikal jenis Yamaha EZ115.
“Polis telah terkesan satu video tular di media sosial Facebook memaparkan kejadian rompakan di Simpang Pulai.
“Siasatan kes dijalankan dibawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Ujar beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
Mohamad Sajidan berkata, mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Fatin Nur Nazihah di talian 019-6363536 atau melaporkan kepada mana-mana balai polis berdekatan.
“Orang ramai diminta agar tidak mengambil tindakan yang melangkaui undang-undang, dan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat,” katanya lagi.
Terdahulu tular di media sosial hantaran bersama rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kejadian rompakan oleh penunggang motosikal bersama sebuah beg penghantar makanan.
Video berdurasi 33 saat itu memaparkan lelaki berkenaan mencederakan seorang individu ketika sedang membuka pintu belakang sebuah kereta di hadapan sebuah rumah, sebelum memecut meninggalkan lokasi kejadian.
Hantaran yang dipercayai dimuat naik anak mangsa itu mendakwa, sebelum itu dia telah didatangi seorang lelaki yang dikatakan berpura-pura menjadi penghantar makanan, sedangkan tiada sebarang pesanan dibuat.
Wanita itu juga mendakwa, selepas meninggalkan rumah berkenaan, lelaki yang menunggang motosikal bersama sebuah beg penghantar makanan kembali ke hadapan rumah sebelum bertindak mencederakan serta melarikan barang peribadi mangsa yang juga ibunya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: