SUNGAI SIPUT – Seorang wanita warga emas mengalami demam kerana terkejut selepas pertama kali terserempak dengan seekor gajah liar di kebun durian miliknya di Kampung Lasah di sini, minggu lalu.
Mariam Hitam, 63, berkata, menjadi rutin harian buatnya menjenguk kebun itu pada setiap hari untuk membersihkan dan mengambil hasil apabila tibanya musim raja buah itu.
Menurutnya, sekitar jam 9 pagi itu, dia pada awalnya menyangkakan bunyi seperti ranting dipijak itu adalah perbuatan monyet yang sering mengganggu tanaman penduduk.
“Saya menjerit dan membuat bunyi bising bagi menghalau monyet, tetapi sangkaan saya meleset apabila saya datang dekat dengan semak rupa-rupanya ada gajah di depan mata.
“Hati saya muda berdebar, dan perlahan-lahan saya jalan mengundur sebelum buka langkah seribu bagi mendapatkan bantuan penduduk lain,” katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.
Mariam berkata, selama 40 tahun menjaga kebun, dia tidak pernah terserempak dengan mamalia berkenaan, melainkan terdengar bunyi tempik dari hutan berhampiran.
“Kebiasaannya kita akan jumpa tahi atau kesan lain kerana gajah ini keluar cari makan pada malam hingga subuh, bukannya pada waktu siang.
“Kejadian itu membuatkan saya demam dan disebabkan itu saya mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran,” ujarnya.
Bagi penoreh getah, Aminah Halan Abdullah, 52 berkata, kehadiran kumpulan gajah bukanlah asing buat penduduk setempat, dan oleh sebab itu dia sentiasa berhati-hati ketika keluar untuk pergi menoreh.
“Waktu jaga kebun durian sebelum ini, dengar bunyi tempik sahaja terus lari balik rumah kerana bimbang terserempak dengan gajah liar.
“Kerap juga gajah liar masuk kawasan sekitar, tetapi saya tetap keluar menoreh kerana inilah hasil pendapatan menyara keluarga,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, dua ekor gajah liar berjaya ditangkap sejak 21 Julai lalu sebaik menerima laporan daripada penduduk.
Menurut beliau, dua gajah jantan yang dianggarkan berusia 25 tahun itu masing-masing seberat dua dan 2.5 tan itu berjaya ditangkap di kawasan hutan kampung berkenaan.
“Operasi pemindahan gajah berkenaan dilakukan secara berperingkat membabitkan 21 kakitangan dibantu petugas Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah dengan menggunakan kaedah tembakan pelali untuk menenangkannya.
“Dua gajah denak betina iaitu Rambai dan Cherry turut digunakan untuk memujuk gajah liar berkenaan bagi memudahkan proses pemindahan,” katanya.
Tambah beliau lagi, gajah liar tersebut kemudiannya akan dilepaskan ke habitat bersesuaian. – MG Perak
Artikel Berkaitan: