TAIPING – Seorang wanita warga emas ditemukan maut selepas tidak sedarkan diri di dalam sebuah rumah yang berkunci di Taman Panglima Jaya, di sini, pada Isnin.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada jam 3.02 petang.
Menurutnya, sejurus selepas itu seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping kemudian digerakkan ke lokasi kejadian.
“Jentera bersama sepasukan anggota tiba di lokasi mendapati sebuah rumah berada dalam keadaan berkunci dari dalam.
“Terdapat seorang wanita warga emas berusia 71 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di dalam rumah berkenaan,” katanya di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, pasukan bomba kemudian melaksanakan penilaian awal atau size-up sebelum melaksanakan operasi membuka pintu dengan menggunakan peralatan khas.
“Pemeriksaan lanjut oleh petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Zaidi Aziz itu kemudian tamat pada jam 3.50 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


