TAIPING – Seorang wanita warga emas ditemukan meninggal dunia dalam sebuah rumah yang berkunci di Taman Marisa, di sini, pada Ahad.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan bagi bantuan membuka pintu rumah berkunci pada jam 1.42 tengah hari.
Katanya, sejurus selepas itu enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba yang tiba mendapati terdapat seorang wanita berusia 83 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri di bahagian ruang tamu rumah yang berkunci.
“Ketua operasi mengarahkan anggota untuk melaksanakan operasi membuka pintu yang terkunci dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Menurut beliau, selepas pintu berjaya dibuka pasukan bomba mendapati mangsa telah meninggal dunia dan wanita itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II (KUP), Zaharuddin Jamaluddin itu tamat pada jam 2.25 petang selepas operasi disahkan terkawal dan selesai. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


