BAGAN DATUK – Selepas lima hari dilaporkan hilang, seorang wanita warga emas ditemukan meninggal dunia di kawasan kebun tanaman pisang di Kampung Teluk Kerdu, Hutan Melintang, dekat sini, pada Sabtu.
Halimah Idris berusia 77 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa memasuki hari ketiga.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, mangsa ditemukan dalam parit di kawasan kebun oleh pasukan SAR pada jam 10.50 pagi.
“Operasi SAR yang bermula pada jam 9 pagi melibatkan dua kawasan pencarian atau sektor dengan mengikuti jejak terakhir mangsa dipercayai kelihatan dalam radius lima kilometer (km) hingga ke pesisir sungai.
“Selepas berjaya ditemukan, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Shazlean berkata, SAR melibatkan kekuatan lapan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang, tiga orang unit anjing pengesan (K9) serta.
“Selain itu, operasi berkenaan dibantu pelbagai agensi lain termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta penduduk kampung,” katanya lagi.
Terdahulu media melaporkan, seorang wanita warga emas dikhuatiri hilang selepas keluar dari rumahnya yang dikelilingi kebun sawit dan pisang di Kampung Teluk Kerdu, Hutan Melintang, sejak Selasa lalu.
Wanita itu dikatakan kali terakhir dilihat pada jam 4 petang hari yang sama di sekitar kawasan rumah namun tidak pulang ke rumah selepas beberapa hari.
Dilaporkan warga emas itu tidak pernah berkahwin dan tinggal berseorangan di rumah dengan keadaan uzur serta mempunyai penyakit pelupa. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


