KUALA KANGSAR – Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar mencari lembu di kawasan hutan di Kampung Paya Permai, Lubok Merbau dekat sini sejak Isnin lalu ditemukan maut pada petang Jumaat.
Mangsa, Zahari Zainudin, 70, ditemui tidak bernyawa pada jam 3.48 petang di kawasan semak kira-kira 900 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB).
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diteruskan pagi tadi dengan penyertaan pelbagai agensi termasuk anggota bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA serta penduduk kampung.
“Operasi mencari dan menyelamat dijalankan secara menyeluruh di kawasan trek balak berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa akhirnya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan semak sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan mala mini.
Beliau berkata, mangsa dibawa ke PKB sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, seramai 113 anggota penyelamat termasuk penduduk kampung terlibat dalam operasi SAR yang bermula pada Selasa lalu dan tamat sepenuhnya sekitar jam 5.30 petang hari ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


