IPOH – Seorang warga emas maut dalam nahas jalan raya membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah pacuan empat roda di kilometer (km) 13 Jalan Cameron Highlands – Simpang Pulai, di sini, pada Ahad.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.04 petang.
Katanya, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai kemudian diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta jenis Nissan Serena yang dinaiki tiga individu, kereta Perodua Myvi (lima individu) dan sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Expander (enam individu).
“Dalam nahas itu, seorang lelaki berusia 65 tahun yang berada dalam Perodua Myvi meninggal dunia di tempat kejadian.
“Sementara mangsa lain masing-masing mengalami kecederaan dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Menurut Shazlean, pasukan bomba melaksanakan operasi penyelamatan sehingga mangsa berjaya dibawa keluar daripada kenderaan sebelum cuba diberi rawatan awal.
“Pasukan perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sebelum diserahkan untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II (KUP), Zabidi Ramli itu tamat pada jam 5.40 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


