IPOH – Polis menahan seorang wanita susulan kes bunuh terhadap seorang warga emas yang ditemukan maut di hadapan pintu masuk di sebuah pasar raya di Klebang, dekat sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, wanita berusia 24 tahun itu ditahan pihak polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Katanya, hasil semakan rekod jenayah ke atas wanita berkenaan mendapati tiada sebarang rekod jenayah lampau.
“Mahkamah Majistret Ipoh membenarkan suspek direman tujuh hari sehingga 1 November depan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dengan niat.
“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan mengesan suspek lain yang terlibat dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ujar beliau, sebelum itu pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang menemukan seorang lelaki warga emas tidak sedarkan diri di hadapan pintu masuk di sebuah pasar raya di Klebang, pada jam 6.13 petang Jumaat.
Abang Zainal Abidin memberitahu, siasatan awal mendapati mangsa berusia 64 tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring selain tiada kesan kecederaan pada tubuh mangsa.
Tambah beliau, mangsa dibawa menjalani bedah siasat di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRBP) bagi mengenal pasti punca kematian, pada Sabtu.
“Pihak polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu untuk tampil memberi keterangan kepada Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan (ASP) Sukjit Singh Jagara Singh di talian 019-5505536 atau mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.
“Pihak polis memandang serius kejadian ini dan meminta orang ramai supaya bersabar dalam apa jua keadaan serta tidak melakukan apa-apa perbuatan yang salah di sisi undang-undang,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: