Warga emas maut dilanggar pemandu treler positif dadah

IPOH – Seorang pemandu treler ditahan kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal warga emas dalam insiden yang berlaku di Jalan Lahat, Menglembu, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata, dalam kejadian itu, mangsa seorang lelaki berumur 65 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan sekitar jam 11.29 pagi di Jalan Lahat berhampiran sebuah kilang itu berlaku apabila treler yang dipandu suspek dalam perjalanan dari sebuah kilang menghala ke Simpang Pulai telah bergesel dengan motosikal ditunggang mangsa.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa bersama motosikalnya terjatuh atas jalan raya mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

“Mangsa dibawa ke HRPB untuk menerima rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia. Pihak hospital kemudiannya melaporkan kematian mangsa pada jam 1.20 petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas pemandu treler lelaki berusia 33 tahun itu mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan direman selama dua hari mulai hari ini sehingga esok.

“Sehubungan itu, saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Muhammad Syafiq Fauze di talian 013-671 3177 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lelaki Thailand maut selepas van rempuh belakang treler

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI