IPOH – Seorang warga emas maut selepas lori treler dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah van di KM286.9 Lebuhraya Utara Selatan Arah Utara di sini, tengah malam tadi.
Mangsa Mohammad Marinoor Chik, 60, ditemui tersepit di bahagian hadapan treler yang dipandunya oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 1.41 pagi.
Menurut beliau, sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 1.47 pagi.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati seorang lelaki tersepit dibahagian hadapan sebuah treler dan mangsa dipercayai maut akibat tersepit antara lori dan van.
“Pasukan bomba kemudiannya menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, mangsa kemudiannya disahkan maut oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi melibatkan lapan anggota BBP Simpang Pulai itu tamat pada jam 2.30 pagi,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan: