TAPAH – Tanggungjawab mengundi perlu digalas semua rakyat negara ini bagi memilih wakil rakyat dan kerajaan yang kukuh serta stabil.
Itu yang disuarakan seorang warga emas, Mohd Saleh Kuncong, 86, ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lesong pagi tadi.
Beliau hadir bersama isterinya Salmi Basirun, 79, bagi menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Lebih menarik Mohd Saleh berkata, dia mula mengundi sejak Pilihan Raya Umum Kedua (PRU ke-2) dan tidak pernah terlepas menunaikan tanggungjawab tersebut.
“Saya mula mengundi sejak 1964 di mana masa itu bendera adalah kapal layar (Parti Perikatan) sebelum ditukar dacing (Barisan Nasional).
“Sudah 14 pilihan raya pak cik mengundi dan yang ini ke-15 lah dan Alhamdulillah masih diberi kesihatan yang baik untuk tunai tanggungjawab,” katanya.
Ditanya mengenai persediaan mengundi, isterinya Salmi berkata, pasangan yang menetap di Kampung Haji Dahalan itu bersiap seawal jam 6 pagi usai menunaikan solat Subuh.
“Kami memang suka pergi mengundi awal pagi sebab tidak mahu nanti orang ramai dan beratur panjang,” katanya.
Terdahulu orang ramai mula beratur seawal jam 7.30 pagi di pusat mengundi SK Sungai Lesong bagi menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat, pada Sabtu. -MG Perak
Artikel Berkaitan: